MSM terus laksana lindung nilai harga gula sementara tunggu mekanisme baharu

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - MSM Malaysia Holdings Bhd akan terus melaksanakan lindung nilai harga gula mengikut purata pasaran sementara menunggu kemungkinan mekanisme baharu oleh kerajaan untuk menggantikan insentif sementara bagi pengeluar gula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pada masa ini, kerajaan menyediakan insentif RM1 sekilogram (kg) kepada pengeluar tempatan bagi memastikan kesinambungan bekalan dan harga gula untuk pengguna.

Iklan
Iklan

"Pada harga RM2.85 sekilogram di kedai, ini sudah tentu satu kejanggalan dalam erti kata ia mungkin harga runcit termurah di rantau ini dan mungkin juga di seluruh dunia, dan pemain industri tempatan yang mungkin memberi subsidi kepada rakyat secara tidak langsung atau secara langsung,” katanya.

Beliau berkata, dari Januari 2022 hingga Oktober tahun lalu, industri bersama (pemain) telah memberi subsidi hampir RM500 juta, dan ini pastinya tidak boleh diteruskan.

Iklan

"Terima kasih kepada kerajaan yang sangat responsif. Kami gembira dengan tindak balas daripada kerajaan untuk menangani isu ini," kata Syed Feizal kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, MSM Malaysia pada masa ini perlu menguruskan harga mengikut New York #11, kontrak niaga hadapan untuk penghantaran fizikal gula tebu mentah dan penanda aras dunia untuk perdagangan gula dunia, yang mana kumpulan itu perlu kerap membeli ke hadapan komoditi itu,sama ada untuk segmen borong atau industri.

Iklan

"Dan kami melaksanakan lindung nilai purata pasaran pada tahap terbaik. Sudah tentunya, bagi pihak bukan pengguna semuanya secara berterusan.Jadi, ini adalah ibarat pemindahan kos kepada industri.

"Namun, bagi pihak pengguna, kami harus mampu menangani (kenaikan kos). Begitu juga untuk eksport, kami mengeksport kira-kira 20 peratus hingga 25 peratus. Oleh itu, untuk eksport, ia pemindahan kos kepada pelanggan," katanya.

Sementara itu, Syed Feizal berkata, pada masa depan MSM menyasarkan untuk meneroka integrasi huluan dengan rancangan untuk mendapatkan gula mentah secara mampan bagi memenuhi permintaan operasi jangka panjang.

Beliau berkata, inisiatif ini menunjukkan komitmen syarikat untuk memastikan rantaian bekalan yang stabil dan memacu amalan perniagaan yang mampan.

Syarikat itu juga memberi tumpuan kepada produk nilai tambah hiliran seperti gula cair dan pracampuran, bertujuan untuk memanfaatkan permintaan pasaran dan meningkatkan aliran hasil, katanya.

Pada 2023, beliau berkata, MSM Malaysia berjaya mengeksport ke lima pasaran utama iaitu Filipina, China, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Selain destinasi utama ini, kumpulan itu juga mengekalkan hubungan eksport dengan negara-negara seperti Korea Selatan, Hong Kong, New Zealand, Taiwan dan Pakistan, antara lainnya.

"MSM menyasar untuk meluaskan capaian pasarannya melangkaui Asia Pasifik dan Asia Selatan ke Afrika, sejajar dengan visinya untuk menembusi dan mempelbagaikan pasaran global dengan lebih meluas lagi,” katanya.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!