PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya melahirkan 24,801 graduan terlatih di bawah program latihan yang diselia oleh Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) sejak tahun 1969.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pertambahan jumlah tenaga mahir dalam bidang agromakanan dapat mempertingkatkan lagi daya saing industri agromakanan negara di pasaran global, seterusnya menjamin kelangsungan bekalan makanan.
Menurutnya, KPKM mendukung visi negara ke arah membangun Malaysia Madani, di samping memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) diterapkan melalui pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan.
"Bagi memastikan semua graduan berkemahiran sentiasa relevan dalam industri pertanian, penting bagi kerajaan memperkasa jaringan ekonomi digital di seluruh negara melalui pelaksanaan pelbagai kerangka strategi dan pelan tindakan. Ia termasuk dalam pembangunan dan pengukuhan program TVET di bawah kawal selia KPKM,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pertanian Ke-12 di sini pada Khamis.
Pada majlis itu, seramai 982 graduan menerima sijil dan diploma selepas menamatkan pengajian di 15 pusat latihan bertauliah di bawah KPKM pada 2023.
Mereka terdiri daripada 96 graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), 482 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 337 graduan Sijil Pertanian, 43 graduan Sijil Veterinar Malaysia dan 24 graduan Sijil Perikanan.
Kesemua graduan terbabit telah mengikuti sembilan bidang persijilan kemahiran iaitu Tanaman, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Teknologi Perikanan Tangkapan, Akuakultur Marin, Akuakultur Air Tawar, Pengeluaran Padi, Pemasaran dan Pemprosesan Makanan serta tiga persijilan daripada Jabatan di bawah KPKM iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.
"Lima graduan merupakan penerima tujuh anugerah khas. Pada 2022, kadar kebolehpasaran graduan Pusat Bertauliah KPKM mencatatkan peningkatan kepada 72.3 peratus berbanding 66.3 peratus pada 2021,” jelasnya.
Beliau berkata, KPKM melalui institut dan pusat latihan di bawah jabatan dan agensinya akan sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum diguna pakai serta memperuntukkan sumber kewangan mencukupi untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan bagi perlaksanaan program latihan yang dirancang.
"Buktinya, pada tahun ini KPKM meluluskan peruntukan sebanyak RM26.3 juta untuk penyelenggaraan infrastruktur di Pusat Bertauliah KPKM bagi menyediakan prasarana lengkap untuk pelatih merangkumi 14 program pembangunan yang terlibat di seluruh negara.
"Kami berharap graduan merebut peluang dalam industri ini untuk mendapat pekerjaan atau menjadi usahawan dalam bidang agromakanan. Ini kerana graduan TVET bersifat global dan holistik seterusnya membina masyarakat yang multi-tasking serta multi-skilling dalam mendepani pasaran global,” katanya.
REAKSI
"Saya merancang untuk mengusahakan ladang rock melon secara fertigasi menerusi pengalaman yang diperoleh ketika menuntut selama dua tahun dalam Sijil Pertanian (teknologi pengeluaran tanaman) di Institut Pertanian Serdang.” - Ahmad Noor Fariz Mohd Isa, 27, Penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri KPKM/Ketua Pengarah Pertanian
"Sijil Veterinar yang diperoleh ketika menuntut di Institut Veterinar Kluang akan digunakan untuk mengembangkan ternakan lembu, kerbau dan kambing yang diusahakan di kampung halaman saya di Seremban.”- Kamil Zuhairi, 22, Penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar/Usahawan Agrobank
"Pengalaman ketika menuntut dalam Diploma SKM (Penyelarasan Teknologi Tanaman) akan digunakan untuk mengusahakan ternakan lembu dan kambing di Besut, Terengganu.”- Raudhatul Husni Roshid, 25, Penerima Anugerah Khas Ketua Setiausaha KPKM
"Alhamdulillah, saya telah bekerja dengan KPKM sebagai pembantu veterinar dan selepas ini saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran untuk menaikkan lagi gred perkhidmatan.” - Muhammad Syahir Zainuddin, 26, Penerima Anugerah Khas Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian
"Saya meminati dunia perikanan dan mahu menyambung pelajaran dalam bidang biomarin yang amat diminati sejak kecil.”- Sarah Najiha Saki@Marzuki, 22, Penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!