SYARIKAT yang menaja persatuan serta acara sukan wajar diberi pemotongan cukai atas sumbangan mereka kepada pembangunan sukan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata, oleh itu, beliau akan meminta Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan perkara tersebut dalam merangka Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Oktober ini.
"Malaysia sebagai 'sporting nation' harus menjalin hubungan yang baik agar kita akan dapat merealisasikan matlamat kerajaan supaya negara berada di barisan hadapan dalam bidang sukan. Kecemerlangan sukan negara adalah tanggungjawab kita bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2023 di sini, malam ini.
Beliau berkata, ini kerana kini terdapat ramai individu yang berjaya mengulas acara-acara sukan yang melibatkan atlet negara secara begitu profesional dan bersahaja.
"Saya ambil contoh, ketika Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya telah mengikuti secara langsung ketika itu saya berada di luar negara dan saya amat tertarik dengan ulasan yang dibuat.
"Pada hemat saya, SAM yang akan mengadakan anugerahnya pada tahun hadapan harus juga mengambil kira sumbangan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut hadir berkata, beliau berharap pengamal media sukan tempatan meneruskan advokasi dan pendidikan positif kepada rakyat terhadap bidang sukan.
Beliau juga mahu pengamal media sukan untuk lebih kerap menulis dan menerbitkan karya yang boleh meniupkan semangat atlet negara untuk tampil bersemangat pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!