PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) optimis skuad negara mampu mengejutkan skuad tuan rumah pada Kejuaraan Piala Raja Thai 2024 di Bangkok, selepas meraih dua pingat emas pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2024 baru-baru ini.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, berdasarkan prestasi di Piala Dunia yang berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 18 hingga 26 Mei dan Sukan SEA Kemboja tahun lepas, peluang skuad negara mengatasi pasukan gergasi dunia itu adalah 50-50.
"Insya-ALLAH, berdasarkan keputusan yang ada, tetapi saya tidak boleh terlalu yakin sebab ini adalah kejohanan yang besar, apatah lagi beraksi di gelanggang lawan di hadapan penonton mereka sendiri, apa-apa pun boleh berlaku.
"Sudah pasti kita nak kekalkan konsistensi kejuaraan kita ataupun konsistensi mengalahkan Thailand, walaupun bukan mudah.
"Penyokong nak tengok bagaimana kejayaan kita di negara luar pula, dan ini pun memberi cabaran yang besar kepada saya, ketua jurulatih Ahmad Jais Baharun dan para pemain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Generasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terlibat dalam Piala Dunia bulan lalu..
Namun, Mohd Sumali berkata sasaran bagi Piala Raja Thai 2024 yang dijangka diadakan September ini belum ditetapkan kerana masih tidak mendapat pengesahan mengenai acara yang akan dipertandingkan pada edisi kali ini.
"Yang pasti, regu dan berpasukan ada, saya tak pasti acara yang lain seperti doubles dan quadrant, mungkin ada mixed. Saya difahamkan acara yang dipertandingkan akan dimuktamadkan dalam minggu depan,” katanya.
Pada Piala Dunia kali ini, Malaysia mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas mencatatkan kemenangan pada final acara regu dan double, masing-masing dengan keputusan 2-0, namun penantian 33 tahun untuk muncul juara acara regu berpasukan terus berpanjangan apabila tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final.
Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum itu menyampaikan apresiasi kepada anak peneroka Felda, Ahmad Jais serta dua pemain Muhammad Fetri Mohd Azwadi dan Baihakki A'rippin atas kejayaan mengharumkan nama negara di Piala Dunia baru-baru ini.
"Saya bersyukur kerana tak pernah berlaku sebelum ini. Saya berharap ia dapat meningkatkan minat lebih ramai anak Felda yang sememangnya sinonim dengan sukan sepak takraw untuk menceburi sukan ini dan beraksi di peringkat antarabangsa,” kata Mohd Sumali. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!