Harimau Malaya ikat Kyrgyzstan di Bishkek

Iklan

HASRAT Harimau Malaya untuk mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027 semakin berliku selepas seri 1-1 dengan Kyrgyzstan dalam aksi di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada Khamis.

Secara matematiknya, Malaysia masih boleh layak namun perlu menang dengan jaringan besar dalam perlawanan terakhir menentang Taiwan selain mengharapkan Oman dapat menewaskan Kyrgyzstan juga dengan jaringan besar dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan D.

Pemain Harimau Malaya menunjukkan solidariti bersama Faisal Halim sebelum perlawanan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, aksi skuad negara dalam perlawanan di Bishek itu boleh diberikan pujian terutama selepas kehilangan ramai pemain utama dan berdepan pasukan yang jauh berkualiti di laman lawan.

Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-100 dunia itu terlebih dahulu mencipta peluang awal menerusi rembatan dari luar kotak penalti Kairat Zhyrgalbek Uulu pada minit ke-11 yang diselamatkan oleh Azri Ghani.

Iklan

Malaysia turut mengancam kubu tuan rumah apabila Endrick Dos Santos merembat daripada hantaran Paulo Jouses yang turut ditangkap kemas penjaga gol lawan Tokotaev Erzan.

Gol pembukaan The White Falcon diperolehi pada minit ke-24 berpunca kelekaan pertahanan negara yang membolehkan Joel Kojo melakukan hantaran kepada Gulzhigit Alykulov sebelum pemain penyerang itu tenang menewaskan Azri.

Iklan

Harimau Malaya berjaya menyamakan kedudukan apabila pertahanan Kyrgyzstan, Valery Kichin menanduk ke gawang sendiri berpunca sepakan percuma yang diambil oleh Endrick.

Separuh masa kedua, Kyrgyzstan tampak mengandakan asakan menerusi beberapa percubaan berbahaya dan mendominasi perlawanan.

Namun, percubaan yang dicipta oleh kedua-dua pasukan gagal dimanfaatkan dan diterjemahkan dengan jaringan gol.

Malaysia akan turun menentang Taiwan dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!