TAHUN 2018 boleh dianggap sejarah hitam buat Barisan Nasional (BN) apabila gabungan itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekali gus gagal mengekalkan kuasa yang dipegang sejak lebih enam dekad.
Sejak itu, gabungan yang dianggotai parti komponen terutama UMNO, MCA dan MIC itu bergelut pelbagai isu termasuk pemimpin dan ahli berpaling tadah menyertai parti lain demi survival politik masing-masing.
Keberadaan BN khususnya UMNO dalam arena politik negara kembali menyerlah apabila menjadi salah satu gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, hubungan UMNO dan Bersatu dilihat rapuh sehingga wujud desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Namun, selepas PRU15 pada November 2022, landskap politik negara sekali lagi berubah apabila BN bersetuju pula untuk bergabung dengan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Meskipun pada awalnya pembentukan itu tidak dipersetujui segelintir pemimpin dan ahli kedua-dua gabungan itu, namun tidak sesekali merencatkan usaha kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim demi mewujudkan kestabilan negara.
Menyusuri hampir dua tahun kerjasama PH-BN, pelbagai tekad diambil kedua-dua gabungan itu, antaranya bekerjasama dalam pelbagai siri pilihan raya seperti pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) dengan memilih satu calon mewakili Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, kenyataan terbaharu Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sidang akhbar dan prapelancaran Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun BN ke-50 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu lalu seakan-akan menggambarkan akan ada ketetapan baharu dalam gabungan itu.
Menurut Zambry, BN sedia berbincang seawal mungkin mengenai model kerjasama dengan PH sebagai persiapan menghadapi PRU16.
Tambah beliau, perbincangan itu antara lain membabitkan pertimbangan BN sama ada ingin bergerak solo atau meneruskan kerjasama sedia ada.
Ketetapan itu akan diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi komponen BN.
Pada sidang akhbar sama, beliau turut memaklumkan, gabungan itu akan melakukan persiapan lebih awal menjelang PRU16 yang dijangka berlangsung sekitar tiga tahun lagi.
Ujarnya, kerangka beberapa siri PRK sebelum ini juga akan dijadikan panduan BN untuk menghadapi PRU akan datang.
Kenyataan terbaharu Zambry itu mendapat pelbagai reaksi, termasuk sokongan supaya BN bergerak solo pada PRU16 demi kelangsungan politik gabungan berkenaan.
Berdasarkan reaksi di media sosial, rata-rata warganet mahukan gabungan itu membina kekuatan sendiri, bukannya mengharapkan kerjasama parti lain.
Reaksi itu juga jelas memperlihatkan ahli akar umbi gabungan berkenaan mahukan supaya BN bergerak sendirian selepas ini.
Apa yang menjadi persoalan ketika ini, mampukah BN bergerak solo untuk kembali mentadbir negara dengan mengambil kira perkembangan dan sokongan yang diterima terhadap mereka.
Apa yang pasti, untuk BN bergerak solo tidak mudah, namun ia juga tidak mustahil dicapai jika kekuatan akar umbi gabungan itu kembali diperkukuhkan dalam tempoh berbaki tiga tahun lagi.
Harapan kini diletakkan pada bahu kepimpinan BN untuk menentukan hala tuju gabungan berkenaan pada masa akan datang jika ingin terus kekal relevan dalam arena politik negara.
Sebarang ketetapan yang bakal dibuat nanti juga bakal memberi kesan kepada masa depan kelangsungan BN khususnya kepada generasi akan datang.
* Nurul Huda Hussain ialah wartawan Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!