KUALA NERUS - Demi memastikan anak yang terlantar sakit menerima susu diberikan menerusi tiub, pasangan suami isteri sanggup mencatu makanan harian bagi meneruskan kelangsungan hidup susulan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Lebih memilukan, pasangan suami isteri, Khairul Azhar Mohamad, 32, dan Engku Noor Wahidah Engku Anuar, 31, bersama enam anak lain perlu bertahan hidup dengan makan bubur selama enam bulan demi berjimat bagi membolehkan Putri Nur Elyna Soffiya Khairul Azhar, 4, menerima susu seperti biasa menerusi saluran tiub daripada sebuah mesin.
Putri Nur Elyna Soffiya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik itu menanggung derita penyakit nanah dalam otak sehingga menyebabkannya terlantar di atas katil sejak tahun lepas.
Engku Noor Wahidah menyatakan pada awal anaknya tersebut menerima bisul di bahagian kepala pada hujung bulan 2022.
Bagaimanapun, dia berkata, ketika itu sakit tersebut dianggap tidak serius susulan Putri Nur Elyna Soffiya tidak menunjukkan mengalami kesakitan yang teruk selain dalam keadaan baik seperti kanak-kanak biasa lain.
"Kita hanya berubat secara tradisional dan tidak hantar ke hospital. Disebabkan bisul itu tidak hilang maka kami pun hantar ke hospital pada tahun 2023.
"Pada bulan April 2023, buat pertama kali anak saya diserang sawan. Kemudian sebulan selepas itu, kali kedua pula dia diserang sawan sehingga koma dan perlu lakukan pembedahan pada hari kejadian.
"Doktor juga mengesahkan terdapat nanah dalam otak anak saya. Akibat penyakit itu, sehingga kini dia terlantar sakit termasuk tidak boleh makan seperti biasa dan perlu bergantung minum susu yang diberikan menerusi tiub," katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewanya di Kampung Banggol Air Lilih dekat sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Engku Noor Wahidah berkata, disebabkan itu dia terpaksa berhenti kerja sebagai peniaga sate dan menjadi suri rumah sepenuh masa demi menjaga Putri Nur Elyna Soffiya.
Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa mengikat perut termasuk dua anak kembarnya berusia 13 tahun juga terpaksa berjimat cermat ke sekolah.
"Paling menyedihkan mereka menyatakan sanggup tak makan untuk simpan duit supaya adik dia (Puteri Nur Elyna Soffiya) dapat minum susu.
"Anak-anak saya lain sanggup berkorban dan mereka kata tak apalah ibu, tak dapat makan cukup asalkan Puteri Nur Elyna Soffiya dapat sembuh dan teruskan hidup," ujarnya.
Dalam pada itu, Engku Noor Wahidah berkata, suaminya, Khairul Azhar yang bekerja kampung serta tidak mempunyai pendapatan tetap terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM1,500 sebulan demi menanggung kos rawatan dan perbelanjaan Putri Nur Elyna Soffiya termasuk susu, lampin dan sebagainya.
"Anak ada terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut beri bantuan dengan membayar sewa rumah.
"Cuma ketika ini, saya masih menunggu kelulusan bantuan daripada Tabung Darul Iman yang sudah hampir setahun tiada maklum balas. Saya masih menunggu bantuan tersebut.
"Sekiranya bantuan itu diterima dalam masa terdekat ini dapatlah saya membeli susu Putri Nur Elyna Soffiya yang menelan kos RM300 untuk seminggu sekali gus meringankan beban kami sekeluarga," ujarnya.
Justeru, Engku Noor Wahidah berkata, buat masa ini mereka sekeluarga terpaksa mencatu makanan harian termasuk makan bubur supaya dapat berjimat cermat demi membeli susu Putri Nur Elyna Soffiya.
"Memang sedih dengan keadaan ini kerana kami perlu tanggung tujuh orang anak dengan keadaan pendapatan tidak mencukupi namun saya mengutamakan wang untuk membeli susu dan kos perbelanjaan Putri Nur Elyna Soffiya.
"Saya reda dengan ketentuan dan takdir menimpa Putri Nur Elyna Soffiya. Saya berharap dia dapat sembuh seperti sebelum ini dan menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak lain," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Engku Noor Wahidah di talian 011-53401993 atau melalui nombor akaun banknya 13062020068721 (Bank Islam).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!