SHAH ALAM - Pesalah rasuah wajar dikenakan hukuman rotan dan penjara seumur hidup bagi membendung masalah itu yang semakin berleluasa negara ini.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Selangor, Zairudin Hashim berkata, hukuman lebih berat amat diperlukan memandangkan negara kini berhadapan ancaman rasuah semakin tinggi.
Katanya, bagaimanapun rasuah tidak hanya boleh dihadapi melalui undang-undang dan tatacara namun harus diperkuatkan melalui pendekatan budaya.
"Selain itu, kolaborasi pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi korporat perlu diadakan kerana berpotensi membanteras rasuah secara komprehensif," ujar ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan kes penahanan reman tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di Kangar bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan lebih RM1 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun 2023.
Dalang dipercayai bekerjasama dengan imam masjid dan anaknya yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di negeri paling Utara tanah air.
Beliau berpendapat, bagi menjaga imej dan kepercayaan pihak berkepentingan mahupun pelanggan, penjawat awam perlu menolak budaya rasuah secara menyeluruh.
"Sistem kawalan rasuah perlu dilaksanakan secara holistik bagi setiap sektor bagi memastikan budaya integriti terus diperkasa," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!