KOTA BHARU - Kelantan bakal dikenali lebih 48 negara Asia apabila kebudayaan dan kesenian negeri ini dipaparkan melalui lukisan di badan pesawat Air Asia bermula hari ini.
Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, negara pertama yang akan dikunjungi hari ini ialah Ho Chi Minh, Vietnam.
"Dengan adanya motif dan lukisan kebudayaan dan kesenian seperti wau bulan, wayang kulit dan pintu gerbang Rehal dipaparkan di badan pesawat, saya rasa itu akan menarik minat pelancong untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kelantan.
"Ini salah satu langkah kerajaan negeri memasarkan Kelantan kepada orang luar. Memang kita amat bangga dengan pendekatan promosi ini, Insya-ALLAH, kita akan dapat mencapai sasaran pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 kali ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Terdahulu, delegasi kerajaan negeri hari ini meluangkan masa membuat tinjauan reka corak pesawat di Sepang.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Azmi Tengku Jaafar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan beberapa wakil kerajaan yang lain.
Anizam berkata, ia merupakan satu peristiwa bersejarah apabila ia pertama dilaksanakan kerajaan negeri sejak pemerintahan Pas 30 tahun lalu.
Selain itu, promosi melibatkan destinasi, makanan dan kebudayaan Kelantan juga akan dimasukkan ke dalam majalah di dalam pesawat iaitu Magazines 360.
Sementara itu, Pengarah Urusan Laduni Services, Syed Anuar Syed Ahmad berkata, pesawat tersebut akan melibatkan enam sektor penerbangan dengan kekerapan empat jam sehari dan iklan tersebut akan berada di badan pesawat selama dua tahun.
"Banyak kelebihan yang akan diperoleh melalui promosi seperti ini dan kami meletakkan Kelantan sebagai destinasi penting di Asia tambahan pula Kelantan merupakan negeri yang mencatatkan jumlah trafik penerbangan domestik tertinggi.
"Saya syorkan kerajaan Kelantan dapat mempercepatkan proses menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menjadi lapangan terbang antarabangsa supaya kemudahan dan manfaat yang akan diperoleh rakyat lebih banyak selepas ini," katanya.