Penyelewengan ajaran al-Arqam

Iklan
KUMPULAN AL-ARQAM merupakan ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat sebagaimana direkodkan dalam buku Warta Kerajaan Fatwa Ajaran Sesat terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor. - Gambar hiasan/Foto CANVA

Dua buku Aurad Muhammadiah pegangan kumpulan itu turut diharamkan

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, ajaran sesat bermaksud ajaran yang terpesong daripada akidah atau syariat agama Islam.

Di Selangor, ajaran yang dibawa kumpulan al-Arqam merupakan ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat sebagaimana direkodkan dalam buku Warta Kerajaan Fatwa Ajaran Sesat terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Iklan
Iklan

Kumpulan ini difatwakan sebagai kumpulan kedua yang membawa ajaran sesat di Selangor selepas gerakan Ajaran Salah (Haji Kahar).

AJARAN yang dibawa kumpulan al-Arqam merupakan ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat sebagaimana direkodkan dalam buku Warta Kerajaan Fatwa Ajaran Sesat terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Iklan

Al-Arqam merupakan antara ajaran yang berevolusi dari sudut penjenamaan dan penampilan, bahkan kumpulan ini juga amat berbangga dengan jumlah pengikut yang ramai.

Sejarah al-Arqam

Iklan

Menelusuri sejarah, ajaran ini diasaskan oleh individu digelar Ustaz Asaari Muhammad bersama beberapa orang sahabatnya pada tahun 1968.

Pada peringkat awal, ia dinamakan dengan Kumpulan Rumah Putih yang berpengkalan di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Ia ditubuhkan dengan misi kononnya mahu menyedarkan umat Islam supaya lebih menghayati makna Islam itu sendiri.

Bagaimanapun beberapa tahun selepas itu, kumpulan ini telah menukar nama gerakan mereka kepada Darul Arqam sebelum tersebar khabar angin mengenai amalan Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh Asaari dan para pengikutnya.

Perkara ini bagaimanapun mengundang kepada tindakan pengisytiharan keluar dari jemaah tersebut oleh beberapa orang kuat Darul Arqam termasuk pemecatan beberapa individu yang berpengaruh dalam kumpulan itu.

Ia turut mendapat perhatian pihak media massa kerana reputasi baik Darul Arqam ketika itu yang dilihat agak terkehadapan dalam menjana ekonomi kumpulan mereka.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada ketika itu kemudiannya memanggil pengasas kumpulan al-Arqam iaitu Asaari untuk mendapatkan penjelasan berkaitan isu tersebut dan beberapa isu lain berkaitan Aurad Muhammadiah.

KEDUA-DUA buah buku pegangan Al-Arqam iaitu ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Dar Al-Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan’ dan buku ‘Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi’ diharamkan kerana dibimbangi akan mengelirukan dan menyesatkan umat Islam. - Gambar hiasan/Foto CANVA

Bagaimanapun berdasarkan pengakuannya, Asaari mengaku tidak menyebarkan Aurad Muhammadiah namun pada masa sama tidak menyatakan dia mengamalkannya.

Asaari seterusnya bertindak mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan beliau tidak pernah mengatakan bahawa individu yang bertanggungjawab membawa Aurad Muhammadiah iaitu Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi yang telah meninggal dunia pada tahun 1925 akan hidup semula sebagai Imam Mahdi pada akhir zaman.

Aurad Muhammadiah pegangan al-Arqam, dua bukunya diharamkan

Kedua-dua buah buku tersebut turut diharamkan kerana dibimbangi akan mengelirukan dan menyesatkan umat Islam.

Berikutan itu, Asaari dan beberapa pemimpin kanan kumpulan tersebut ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kemudiannya membuat pengakuan tentang penyelewengan al-Arqam.

Asaari akhirnya dibebaskan daripada tahanan tetapi masih dikenakan tahanan rumah sebelum meninggal dunia pada tahuan 2010.

Cubaan menghidupkan semula al-Arqam

Polemik yang melanda kumpulan itu tidak sedikitpun melunturkan semangat isteri Asaari iaitu, Hat-ah Aam atau lebih dikenali dengan nama Ummu Jah.

Ummu Jah dikesan cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah melalui Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) ketika suaminya itu masih lagi berada dalam tahanan ISA.

PADA 21 Disember 2006, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan dalam fatwa bertajuk ‘Usaha-usaha menghidupkan semula al-Arqam melalui Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungan’ bahawa mereka dikesan membawa fahaman yang sama dengan al-Arqam sebagaimana difatwakan sesat pada 11 Ogos 1994.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga bersetuju untuk memutuskan bahawa buku yang bertajuk ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan’ yang ditulis oleh Ashaari dan ‘Manaqib (riwayat hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi’ yang ditulis oleh Mohamad Taha as-Suhaimi telah diharamkan.

Sebagai kesimpulannya, meskipun terdapat pengisytiharan taubat daripada kumpulan ini namun fatwa yang pernah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak pernah ditarik balik kerana dipercayai masih ada saki baki pengikutnya yang mengamalkan ajaran yang telah diharamkan ini.

Justeru umat Islam di Malaysia khususnya di Selangor mestilah sentiasa cakna dan peka serta menjauhkan diri dari sebarang aktiviti yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas serta mengelakkan diri dari segala bentuk ajaran dan fahaman yang meragukan.

Segera laporkan segala aktiviti yang meragukan kepada Pihak Berkuasa Agama bagi membendung penularan ajaran yang boleh merosakkan akidah, syariah serta akhlak umat Islam.