Penipuan ujian persijilan: Toyota, Mazda hentikan pengeluaran 5 model

Iklan
Pengerusi Lembaga Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda (kanan) dan Ketua Pegawai Kumpulan Promosi Pertama Pelanggan, Shinji Miyamoto (kiri) tunduk semasa sidang media di Tokyo pada 3 Jun 2024. Toyota memaklumkan telah menggantung penghantaran domestik tiga model kereta selepas melanggar peraturan persijilan kerajaan bersama-sama pesaing Jepunnya, Honda, Mazda, Suzuki dan Yamaha. Foto AFP

TOKYO - Gergasi automotif Jepun, Toyota dan Mazda, menggantung pengeluaran lima model kereta pada Khamis berikutan penemuan amalan penipuan dalam ujian persijilan kebangsaan, susulan pendedahan skandal penipuan yang melibatkan lima pengeluar kenderaan utama Jepun, lapor Xinhua.

Berikutan arahan Kementerian Pengangkutan Jepun untuk menghentikan penghantaran model yang terjejas, Toyota Motor Corporation menghentikan pengeluaran tiga model, termasuk Yaris Cross, di kilangnya di Wilayah Miyagi dan Iwate, dengan penggantungan dijangka sehingga 28 Jun.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Mazda Motors Corporation menghentikan pengeluaran dua model, termasuk MAZDA2, di kilangnya di Wilayah Hiroshima dan Yamaguchi.

Penggantungan ini berlaku selepas Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan mendedahkan bahawa Toyota, Honda Motor, Mazda, Yamaha Motor dan Suzuki Motor terlibat dalam amalan penipuan haram semasa permohonan persijilan pengeluaran besar-besaran mereka.

Iklan

Dengan kesan gabungan yang besar terhadap rantaian bekalan kedua-dua syarikat, gangguan ini menimbulkan kebimbangan besar untuk ekonomi serantau, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi sebahagian penting dalam rangkaian bekalan, menurut laporan media tempatan.

Dianggarkan bahawa penggantungan pengeluaran ini menjejaskan lebih 1,000 pembekal untuk Toyota dan kira-kira 300 untuk Mazda.

Iklan

Menekankan usaha untuk mengurangkan kesan ekonomi, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi berkata bahawa Kementerian Pengangkutan akan mempercepatkan ujian pengesahan pematuhan untuk meminimumkan kesan ekonomi akibat penghantaran yang terhenti.

Baik Toyota mahupun Mazda tidak menyatakan bila pengeluaran akan disambung semula untuk model yang terjejas. Bernama-Xinhua

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!