Bekerja untuk agama tanggungjawab setiap Muslim

Iklan
LAKUKAN kerja bersungguh-sungguh dan beribadahlah kepada ALLAH dengan amalan, usahlah kita berbakti dengan natijah semata-mata./ Gambar kecil: DR FAUZI DERAMAN

Teladani para anbia, sahabat dan beberapa tokoh Islam lain dalam menegakkan serta menyebarluaskan Islam

BEKERJA untuk agama, menyumbang ke jalan ALLAH, menegakkan panji-panji Islam dan bersungguh-sungguh agar agama suci itu kembali cemerlang serta sistem khalifah dapat ditegakkan semula.

Semua itu bukan tugas seorang dua atau mana-mana kumpulan. Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing. Ia sangat diperlukan demi keselamatan diri dan mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Iklan
Iklan

Perhatikan gambaran Nabi Yaakub AS, Baginda menghimpunkan anak-anaknya di pengujung usianya agar dirinya tenang.

Ia dirakamkan dalam ayat ke-133 Surah al-Baqarah. Nabi Yaakub bukan hanya mahu meninggal dalam keadaan beriman, tetapi turut menginginkan ketenangan terhadap masa depan anak-anak dan umatnya agar mereka dalam keadaan taat serta beribadah kepada ALLAH SWT.

Iklan

Satu lagi contoh dapat dilihat menerusi kisah Nabi Nuh AS. Selama 950 tahun lamanya Baginda berdakwah kepada kaumnya. Terlalu banyak pendustaan dan keingkaran umatnya yang dihadapi sepanjang tempoh panjang itu.

Nabi Muhammad SAW kemudian meneruskan dakwahnya sehingga terpaksa meninggalkan negeri paling dicintainya dan berhijrah semata-mata kerana ALLAH SWT demi jihadnya sehinggalah ke nafas terakhir.

Iklan

TELADANI kisah-kisah para nabi dan rasul, sahabat serta tokoh-tokoh Islam masyhur yang berjuang dan bekerja untuk agama Islam. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Saat penghujung usianya, Baginda masih prihatin terhadap umat dan agama mereka. Ayat akhir yang meluncur keluar dari mulut Baginda adalah ‘Jagalah solat dan siapa yang di bawah milikmu’ sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah.

Tangkis kemungkaran

Sebenarnya bukan hanya para nabi dan rasul yang bekerja untuk agama. Penulis ingin mengajak semua untuk menyelami kisah remaja dalam peristiwa Ashab al-Ukhdud.

Walaupun belum sampai usia seorang pemuda, tetapi semasa mendapat petunjuk kepada iman, remaja itu terus mengajak manusia kepada keimanan.

Tatkala berita itu sampai kepada pengetahuan raja dan dihukum bunuh, cubaan itu bagaimanapun tidak berjaya sehinggalah beliau sendiri menjelaskan cara untuk mematikannya. Ini kerana anak muda itu hidup kerana isu agama.

Pemuda tersebut mengharapkan dakwahnya sampai kepada semua manusia di negerinya. Sebab itulah beliau mencurahkan keringatnya hingga orang ramai beriman walaupun akhirnya dirinya mati sebelum melihat impak daripada dakwah dilakukannya.

Satu lagi kisah masyhur yang dirakam dalam sejarah iaitu Nuruddin Zanki dan Salahuddin Al-Ayyubi yang telah ‘mewakafkan’ diri mereka kepada ALLAH SWT hingga Tuhan semesta alam itu membebaskan Masjid Al-Aqsa melalui Salehuddin pada tahun 1187.

Kata mereka:"Bagaimana saya boleh ketawa sedangkan al-Quds di tangan musuh?”

Jika diteliti semua kisah yang dinukilkan tadi, jelas pendirian generasi awal yang bekerja untuk agama dan memenangkan Islam. Mereka tidak sanggup melihat kemungkaran di hadapan mata tanpa berusaha apa pun.

Sedangkan kita pula sibuk bertanya ‘Siapalah saya?’ dan ‘Apakah ada nilai pada amalan saya?’

APA jua profesion yang diceburi, bekerjalah bersungguh-sungguh dan menyumbang ke jalan ALLAH mengikut kemampuan masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Peranan Muslim

Sebaliknya, usahlah kita menghina diri sedemikian rupa. Sesungguhnya, ALLAH SWT menjadikan pada diri kita kebaikan yang banyak.

Paling penting, beribadahlah kepada ALLAH dengan amalan, usahlah kita berbakti dengan natijah semata-mata.

Apakah yang boleh kita lakukan untuk berkhidmat dan membela agama Islam?

Berikut dikongsikan kunci bagi peranan yang boleh membantu kita:

1. Komited dengan syariat ALLAH dan pasakkan anak masing-masing dengan Islam sebenar.

2. Berdakwahlah kepada ALLAH dan bersikap amar makruf nahi mungkar.

3. Belajar agama dan mengajarkannya kepada orang lain.

4. Mengutamakan isu-isu umat Islam di pelbagai tempat dan menyatakan kepada orang lain tentang hakikat sebenar serta perancangan jahat musuh.

5. Prihatin dalam kalangan yang kurang berkemampuan seperti anak yatim dan fakir miskin serta membela mereka.

6. Cemerlang dalam pengajian sebagai persiapan untuk majukan umat, ekonomi, politik, akademik dan juga teknologi.

7. Berkhidmat kepada setiap Muslim di tempat kerja masing-masing dan elakkan daripada melakukan perkara haram.

8. Berdoa dan bermunajat kepada ALLAH agar diberi pertolongan dan kemenangan buat Muslimin.

9. Dampingi ahli ilmu dan para pendakwah untuk mendapat bimbingan bagi semua kerja yang diperlukan dan untuk menyumbang kepada ALLAH.

Kepada para wanita pula, mengertilah bahawa mereka juga tidak terpisah daripada kerja-kerja Islam.

Antara peranan kaum Hawa termasuklah:

KEPADA para wanita, asuhlah anak-anak dengan ajaran Islam sebenar, di samping mempertahankan suami dan cahaya mata masing-masing serta mendorong mereka taat kepada ALLAH, sambil bekerja untuk agama. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

1. Beriltizam dengan syariat ALLAH dan menjadi ikutan kepada orang lain dengan akhlak baik, adab terpuji serta disulami sifat malu.

2. Mengasuh anak-anak dengan ajaran Islam sebenar.

3. Mempertahankan suami dan anak-anak serta mendorong mereka taat kepada ALLAH, di samping bekerja untuk agama.

4. Mempersiapkan rumah tangga bagi suami dan anak-anak untuk menyumbang serta berkorban.

5. Tidak menyusahkan suami dengan pelbagai permintaan dan perbelajaan hingga dirinya menyibukkan diri kepada perkara tidak penting.

*Dr Fauzi Deraman ialah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia