Wanita maut dalam nahas dua kenderaan

Iklan
Keadaan kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI - Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer (KM) 7.0 jalan Kuala Sedili-Sedili Kechil di sini, pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan daripada orang awam sekitar jam 3.45 petang.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 58 tahun dengan kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun bersama isteri yang juga berusia 30 tahun dan anak perempuan mereka berusia enam tahun.

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan MPV Toyota Avanza. - Foto BBP Kota Tinggi

"Dalam kemalangan tersebut, pemandu Toyota Avanza yang juga seorang peniaga meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan.

Iklan

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.

"Selain itu, pemandu kereta Proton Saga turut mengalami kecederaan di bahagian anggota badan dan dirawat di Hospital Kota Tinggi manakala dua lagi penumpang kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Iklan

Punca kemalangan masih dalam siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabitkan kesalahan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Shahrul Nizam Johari berkata, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan seramai lima anggota bomba, satu jentera utiliti urvan dan satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), telah dikejarkan ke lokasi, setelah menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan sekitar jam 2.55 petang.

Katanya, setibanya PKO ke lokasi didapati seorang wanita telah tersepit dan disahkan meninggal dunia dalam kereta jenis Toyota Avanza dan mangsa kemudiannya dikeluarkan menggunakan peralatan rescue tools sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Seorang lagi mangsa telah dihantar ke hospital sebelum PKO tiba ke lokasi. Operasi ditamatkan sekitar jam 4.40 petang,” katanya.