SHAH ALAM - Kepelbagaian kaum di Malaysia memberikan kelebihan kepada sebilangan rakyat untuk menguasai lebih daripada dua bahasa selain bahasa kebangsaan dan Inggeris.
Bagi seorang pemandu lori yang dikenali sebagai Jai, kemampuannya untuk menguasai dan fasih berbahasa Tamil dimanfaatkan dengan membuat kandungan menghiburkan di TikTok.
Malah, kelancarannya menyanyikan lagu Tamil, Yennode Macha nyanyian Zubir Khan membuatkan ramai netizen kagum, termasuk yang berbangsa India.
Video nyanyiannya itu dikongsi melalui akaun TikTok @9tripleone yang sehingga kini mendapat 5.7 juta tontonan dan 253, 600 tanda suka serta 8,698 komen.
Penyanyi asal lagu berkenaan iaitu Zubir turut kagum dengan nyanyiannya dan meninggalkan komen ‘terbaik bang’ di video berkenaan yang tular.
Pemilik akaun May Max Well Vasudevan juga memaklumkan penggunaan ayat yang digunakan adalah betul.
"Wow, kagum sebab sempurna dan tiada kesilapan,” katanya.
Sivaranjini Selvam turut berkongsi kekagumannya dan membuat telahan bahawa Jai memang tahu berbahasa Tamil.
"Slang (dialek) pun dah boleh tahu abang ni memang boleh cakap Tamil,” komennya.
Sementara itu, dalam perkongsian berasingan, Jai memaklumkan dia fasih berbahasa Tamil kerana pernah belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Selaba, Teluk Intan, Perak.
"Ada orang tanya macam mana fasih bahasa Tamil. Memang saya belajar di sini. Banyak kenangan di sekolah ini, saya belajar dari darjah satu hingga enam,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!