KOTA KINABALU - Jabatan Perikanan Sabah menegaskan penggunaan senapang panah untuk menangkap ikan di dasar laut atau sungai menyalahi undang-undang di negara ini.
Pengarahnya, Azhar Kassim berkata, tiada sebarang lesen dikeluarkan untuk penggunaan senapang panah untuk menangkap ikan di negeri ini.
"Ya, senapang panah adalah senjata yang diharamkan dan dilarang penggunaannya. Kami tidak mengeluarkan lesen untuk penggunaannya.
"Kaedah penangkapan ikan ini adalah secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini tular video berdurasi 29 saat memaparkan tindakan seorang penyelam yang menangkap ikan menggunakan senapang panah di dasar laut dipercayai berlaku di Pulau Mabul, Semporna.
Penyelam terbabit bukan sahaja menembak ikan tersebut untuk dijadikan hidangan tetapi turut menyentuh penyu hijau di dasar laut berkenaan.
Sementara itu, Presiden Kelab Sabah Dive Squad, Sim Fui berkata, pihaknya begitu prihatin berhubung insiden berkenaan yang bukan saja menyalahi undang-undang tetapi bertentangan dengan nilai dan prinsip utama kelab mereka.
Menurutnya, tindakan penyelam individu itu tidak mencerminkan etika dan amalan menyelam yang bertanggungjawab yang menekankan pemuliharaan dan penghormatan terhadap kehidupan marin.
"Tambahan pula, penggunaan senapang panah semasa menyelam skuba membawa risiko keselamatan yang ketara.
"Tindakan sedemikian boleh secara tidak sengaja mencederakan penyelam lain di kawasan berdekatan, mewujudkan persekitaran bawah air yang berbahaya.
"Keselamatan semua penyelam adalah keutamaan, dan tingkah laku yang cuai seperti ini tidak boleh diterima," katanya.
Sehubungan itu, Sim Fui menggesa semua penyelam sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang mengawal perairan dan bertindak sebagai penjaga persekitaran marin.
"Biarlah insiden ini menjadi peringatan tentang tanggungjawab kolektif kita untuk melindungi dan menghargai dunia bawah air untuk generasi akan datang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!