Semua PBT di Selangor terlibat penilaian semula cukai taksiran - Suee Lim

Iklan
Suee Lim

SHAH ALAM - Semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terlibat dalam penilaian semula kadar cukai taksiran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan selewatnya-lewatnya tahun hadapan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, tiada PBT terkecuali melakukan penilaian taksiran, namun ia mestilah berasas dan menepati situasi semasa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, berdasarkan semakan mendapati semua PBT di negeri ini tidak membuat semakan cukai taksiran sejak 30 tahun lalu.

"Maka keputusan (semakan cukai taksiran) terpaksa dibuat dan tiada PBT terkecuali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu, beberapa PBT telah mula membuat nilaian baharu antaranya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

"Selepas ini beberapa PBT lain juga menyusul antaranya MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan PBT lain," katanya.

Iklan

Jelas beliau, penilaian semakan semula itu bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya berdasarkan kepada keperluan bagi membolehkan semua PBT meningkatkan hasil pendapatan dan seterusnya memberikan perkhidmatan lebih berkualiti.

"Setiap PBT di Selangor berusaha untuk memberikan kemudahan infrastruktur lebih baik seperti penyelenggaraan longkang, parit dan lampu jalan, dewan orang ramai serta dari segi kutipan sisa pepejal lebih bersih," jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri juga memberi kelonggaran kepada mereka yang tidak berkemampuan dan memenuhi syarat terutama bagi mereka yang menetap di rumah kos rendah.

"Di bawah syarat-syarat tertentu, mereka juga ada syarat-syarat pengecualian, namun bagi pegangan biasa dan sebagainya kita harus terima hakikat ini.

"Bantulah kerajaan negeri dan PBT dengan bersama-sama kita bertanggungjawab menjadi pembayar cukai taksiran," ujarnya.

Sinar Harian pada 29 Mei lalu melaporkan, kerajaan Selangor menetapkan PBT di negeri ini hanya boleh membuat penilaian kenaikan cukai taksiran pada kadar maksimum 25 peratus.

Kerajaan negeri memberi jaminan tiada kenaikan melampau yang membebankan pemilik kediaman dan premis perniagaan seperti didakwa sesetengah pihak terutama pembangkang sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!