KKM sasar hasil lapan pakar geriatrik setahun

Iklan
Dzulkefly menandatangani buku pelawat selepas merasmikan Klinik Kesihatan Air Putih di Balik Pulau pada Jumaat.

BALIK PULAU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan sekurang-kurangnya lapan pakar geriatrik dapat dihasilkan dalam tempoh setahun bagi menghadapi negara menua menjelang 2047.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini, terdapat 33 pakar geriatrik di bawah KMM, 13 bertugas di hospital bawah Kementerian Pendidikan Tinggi manakala 14 lagi di hospital swasta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehubungan itu, bagi menuju ke sebuah negara menua, Malaysia perlu penambahan sekurang-kurangnya lapan pakar untuk setahun bagi menampung bilangan pesakit warga emas yang semakin meningkat.

"Jadi kita perlu membuat persiapan bukan sahaja daripada sudut kesihatan malah daripada sudut pendekatan yang diambil kerajaan bagi menangani isu berkaitan masyarakat menua.

Iklan

"Di peringkat jabatan fasiliti kesihatan awam, kita mempunyai punya 33 pakar sakit tua," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Air Putih di sini pada Jumaat.

Tambah Dr Dzulkefly, jumlah itu menunjukkan tidak ramai pelajar yang berminat dalam bidang kepakaran sakit tua.

Iklan

"Sangat sukar untuk menarik minat pelajar ke dalam bidang kepakaran sakit tua. Kita akan bincang dengan program-program sarjana perubatan untuk meningkatkan jumlah pakar sakit tua.

"Ini komitmen KKM, paling tidak pun kita ada lapan perjawatan setahun untuk ambil jawatan tersebut. Kalau ada lima pun, kita dah senang hati.

"Ketika ini, hanya sebuah universiti yang menjalankan program kepakaran sakit tua iaitu Universiti Malaya," katanya lagi.

Pakar kesihatan menggesa kerajaan menyediakan jumlah pakar geriatrik yang mencukupi apabila Malaysia menjadi negara menua menjelang 2047.

Dr Osman Ali dari Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL RCMP) berkata, langkah itu bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diteruskan apabila 14 peratus daripada populasi negara terdiri daripada individu berusia 65 tahun ke atas.

Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang mendedahkan KKM hanya mempunyai 34 pakar geriatrik di seluruh negara yang tidak mencukupi mengikut nisbah disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!