JKDM halang kontena asal Israel cuba masuk Kedah

Iklan
JKDM Kedah menghalang sebuah treler membawa kontena berlogo syarikat ZIM Israel mengandungi dagangan peralatan komputer dikesan cuba memasuki Malaysia melalui Kedah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Khamis.

BUKIT KAYU HITAM - Sebuah treler membawa kontena berlogo syarikat ZIM Israel mengandungi dagangan peralatan komputer dikesan cuba memasuki Malaysia melalui Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini pada Khamis.

Bagaimanapun, MTT (Menanggung Tugas-Tugas) Pengarah Kastam Kedah, Suhaime Affindi Zainol Abidin berkata, JKDM Kedah telah menghalang lori bernombor pendaftaran asing dari Thailand yang cuba masuk melalui pintu masuk itu lebih kurang jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kenderaan terbabit ingin memasuki Malaysia dengan melakukan pengikraran Borang K1 bagi tujuan pengimportan dagangan ke dalam negara Malaysia.

"Susulan itu, kenderaan terbabit telah ditahan untuk mendapat pengesahan dan arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau memaklumkan, lori dengan kontena berisi dagangan terbabit kemudiannya diarah berpatah balik ke negara jiran.

Suhaime Affindi berkata, kenderaan terbabit didapati telah meninggalkan negara Malaysia pada jam 1.30 petang hari yang sama.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Menurutnya, orang ramai turut dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Tegasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan cubaan masuk sebuah lori kontena milik syarikat berpangkalan dari Israel membawa muatan dagangan ayam sejuk beku ke dalam negara di pintu masuk ICQS Padang Besar, Perlis pada Ahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!