[VIDEO] Cabaran pergerakan jemaah haji ke Arafah

Iklan

MAKKAH - Tabung Haji (TH) bersedia menghadapi cabaran menguruskan pergerakan jemaah haji Malaysia musim 1445H/2024M susulan Arab Saudi telah menetapkan tarikh hari wukuf 9 Zulhijjah adalah pada 15 Jun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH akan menyediakan 20 buah bas untuk pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Arafah yang bermula jam 6 pagi pada 8 Zulhijjah.

Iklan
Iklan

Manakala, bagi pergerakan jemaah haji dari Arafah ke Muzdalifah pula, TH sediakan enam buah bas dan lima bas dari sektor Muzdalifah ke Mina bagi setiap maktab.

Menurutnya, perjalanan dari Makkah ke Arafah akan mengambil masa satu atau dua jam bergantung kepada tahap kesesakan jalan raya yang dilalui, terutamanya apabila pergerakan berlaku pada hari Jumaat dan banyak laluan akan ditutup.

Iklan
Suasana ketika jemaah haji bermalam di Muzdalifah. Gambar hiasan

"Penyediaan bas untuk sektor Makkah ke Arafah adalah sebanyak 20 bas, enam bas sektor Arafah ke Muzdalifah dan lima bas dari sektor Muzdalifah ke Mina bagi setiap maktab. Manakala, 10 bas disediakan untuk setiap maktab, untuk jemaah ke Makkah selepas selesai melontar pada hari 12 Zulhijjah iaitu Nafar Awal.

"Sebanyak 10 buah bas pula akan digunakan selepas selesai melontar pada hari 13 Zulhijjah bagi Nafar Thani untuk membawa pulang ke maktab masing masing di Makkah,” katanya dalam sidang media, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, pergerakan ini juga akan membabitkan lebih 600 petugas haji kebajikan dan perubatan yang akan bergerak secara berperingkat ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menurutnya, bagi jemaah yang berada di wad hospital, TH menyediakan empat bas khas yang diubahsuai seperti ambulan untuk mengangkut jemaah yang sakit untuk berwukuf melalui program yang dinamakan Safari Wukuf.

"Jemaah akan dibawa ke Arafah selama dua jam dan selepas masuk waktu wukuf serta khutbah Arafah dibacakan oleh petugas haji, mereka akan dibawa semula ke Pusat Rawatan TH Makkah untuk meneruskan rawatan lanjut,” katanya.

Pergerakan jemaah haji ke Arafah adalah satu pergerakan terbesar di dunia apabila lebih dua juta jemaah haji akan bergerak ke Padang Arafah bermula 8 Zulhijjah.

Beliau berkata, persiapan operasi Masyair sedang berjalan lancar dan kemudahan khemah Arafah dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 5 hari lagi.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah memberi kelebihan kepada Malaysia untuk memilih jadual melontar jamrah di Mina ketika operasi Masyair nanti.

"Kami telah memilih untuk jemaah Malaysia pergi melontar pada waktu malam bermula jam 8 malam sehinggalah 12 tengah malam kerana masa itu cuaca agak dingin berbanding cuaca panas pada siang hari.

"Melontar di sebelah malam juga untuk mengelakkan kesesakan di jamrah apabila ramai jemaah luar negara berpusu pusu ke jamrah pada waktu Dhuha,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!