KOTA KINABALU - Tindakan meroboh rumah atau pondok yang dibina di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna, tular di media sosial sejak Khamis telah dimaklumkan sebulan lebih awal sebelum operasi dilaksanakan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Lew berkata, satu mesyuarat yang dipengerusikan pihak Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna mengenai pengedaran notis pengosongan kawasan TMTS telah diadakan pada 26 April lalu.
Menurutnya, operasi pengedaran notis pengosongan telah dilaksanakan bermula 2 hingga 4 Mei lalu membabitkan 273 rumah penempatan tanpa izin yang dibina di dalam TMTS.
"Kerja-kerja meroboh dan pengosongan penempatan tanpa izin ini dilaksanakan bermula pada 4 hingga 6 Jun dan sebanyak 138 penempatan tanpa izin telah dirobohkan yang dibina dalam kawasan panas.
"Sejumlah rumah lain juga telah dirobohkan sendiri oleh pemiliknya dan ada pemilik yang meninggalkan rumah mereka begitu sahaja.
"Bagaimanapun, menurut sumber dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam operasi ini, ada pemilik rumah telah bertindak membakar rumah mereka sendiri semasa ketiadaan pasukan operasi untuk tujuan ditularkan di media sosial dan meraih simpati serta perhatian dari netizen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Christina berkata lagi, operasi itu dilaksanakan atas faktor isu keselamatan di peringkat daerah susulan insiden tembakan di Teluk Darvel dan juga kegiatan jenayah rentas negara di lokasi penempatan tanpa izin.
"Kedaulatan undang-undang negara yang berkuatkuasa dalam isu ini haruslah dipertahankan.
"Dari sudut pematuhan Enakmen Taman-Taman 1984, TMTS merupakan salah satu kawasan yang diwartakan sebagai kawasan TTS iaitu Taman Negeri.
"Semua kesalahan dalam Enakmen Taman-Taman seperti menangkap ikan, membina strukur tanpa izin dan bercucuk tanam memberikan kuasa kepada TTS untuk mengambil tindakan seperti mana yang telah diperuntukan dalam Enakmen Taman-Taman.
"Isu pembukaan hutan di Pulau Bodgaya untuk tujuan pertanian serta pembinaan lebih 200 struktur rumah tanpa izin adalah menjadi satu contoh pelanggaran terhadap Enakmen Taman-Taman," jelasnya.
Sehubungan itu, Christina berkata, semua tindakan yang telah dilaksanakan itu telah dipersetujui oleh agensi yang berkaitan dalam beberapa sesi mesyuarat.
"Ini termasuk lapan wakil komuniti TMTS yang sah juga sebulat suara meminta agar komuniti tanpa izin dikeluarkan segera dari kawasan TMTS," katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial penempatan komuniti Bajau Laut atau Palauh dirobohkan dan didakwa turut dibakar dalam operasi tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!