Ustaz Kazim letak syarat jika mahu filemkan kisah sakit misteri - Mawi

Iklan
Tertarik dengan kisah yang dilalui Ustaz Kazim, Mawi memilih untuk mengangkat 'penderitaan' itu dalam filem keduanya.

NAMA pendakwah bebas, Datuk Kazim Elias sememangnya bukan asing lagi dan kisahnya berdepan dengan penyakit misteri turut diketahui umum.

Keadaan yang dihadapi oleh beliau telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Mawi World Entertainment untuk mengangkat kisah berkenaan menjadi sebuah filem berjudul Zim Zim Ala Kazim.

Iklan
Iklan

Penerbit dan pengarah, Mawi berkata, idea untuk menghasilkan filem tersebut bermula menerusi perjumpaan dengan Ustaz Kazim.

"Ketika berjumpa kami berborak, beliau telah berkongsi tentang kisah penyakit misteri yang dialaminya itu.

Iklan

"Sebenarnya apa yang dilalui oleh Ustaz Kazim itu, saya juga pernah melalui keadaan yang lebih kurang dengan beliau,” jelasnya.

Tambah Mawi, dia telah meminta kebenaran pendakwah bebas itu untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat pengalaman Ustaz Kazim berhadapan penyakit misteri.

Iklan

Ujarnya, dia berasa lega apabila Ustaz Kazim memberikan persetujuan untuk penghasilan Zim Zim Ala Kazim.

Kazim Elias menjayakan sendiri watak dalam filem yang memaparkan kisah benarnya.

"Kalau diikutkan tidak sukar untuk saya meyakinkan beliau. Dalam perjumpaan kali kedua, beliau ceritakan lebih mendalam dan pada perjumpaan kali ketiga saya turut membawa penulis skrip.

"Berkenaan dengan jalan cerita pula, kira-kira 70-80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan. Selebihnya saya ada tokok tambah untuk pastikan penceritaannya lebih menarik,” jelasnya.

Filem kedua arahan Mawi itu berkisarkan sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal dan dibintangi barisan pelakon hebat seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar selaku teraju utama.

Lebih menarik lagi, filem itu turut menampilkan Ustaz Kazim sebagai hero serta Mawi sendiri turut berlakon.

Dalam pada itu, Mawi tidak menafikan bahawa pendakwah tersebut ada meletakkan syarat jika mahu kisahnya itu diangkat menjadi filem.

"Syarat paling utama Ustaz Kazim sendiri mahu menjadi ‘hero’. Pada awalnya, saya dah ada pilihan untuk pegang watak beliau. Namun, beliau sendiri nak lakonkan watak dirinya.

"Memang agak terkejut juga, namun saya kagum dengan keberanian beliau untuk berlakon dalam filem ini,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mawi filemkan kisah sakit misteri Ustaz Kazim

Bercerita lebih lanjut tentang pembikinan filem berkenaan, Mawi memberitahu ia dibuat sekitar dua tahun lalu selama 15 hari di kawasan sekitar rumah Ustaz Kazim sendiri di Kampung Manjoi, Perak.

Iqram Dinzly dan Ryan Bakery turut menjadi teraju dalam Zim Zim Ala Kazim.

Ujar Mawi, sepanjang penggambaran ia berjalan lancar, namun mengakui ada berlaku beberapa kejadian mistik.

"Ada satu masa itu ketika nak memulakan penggambaran, tiba-tiba penyakit Ustaz Kazim menyerang semula.

"Sehinggakan kulit beliau ada keluar darah. Apa pun situasi berkenaan dapat diatasi dengan baik,” ujarnya.

Filem Zim Zim Ala Kazim akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 13 Jun 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!