SHAH ALAM - Malaysia meneroka peluang kerjasama perdagangan bersama Uruguay, termasuk potensi negara berkenaan sebagai sumber baharu bagi daging halal.
Perkara itu dibincangkan sewaktu kunjungan hormat daripada Menteri Ternakan, Pertanian dan Perikanan Uruguay, Ing. Agr. Fernando Mattos ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Wisma Tani, Putrajaya pada Khamis.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, dalam perbincangan tersebut, Mattos memberitahu bahawa daging merupakan eksport terbesar Uruguay diikuti selulosa, gandum, kacang soya dan beras.
"Sebagai salah satu negara pengeksport daging terbesar dunia, Uruguay melihat Malaysia sebagai rakan dagang yang penting dan berpotensi bagi pasaran daging halal. Mereka turut menawarkan kepada Malaysia peluang untuk meluaskan rangkaian negara sumber bagi daging halal import.
"Menteri menyambut baik cadangan tersebut berdasarkan keperluan negara untuk mempelbagaikan sumber import bagi menjamin bekalan makanan negara.
"Industri ternakan ruminan yang besar dengan keupayaan kilang dan teknologi pemprosesan kompeten adalah antara kelebihan bagi Uruguay, sekali gus berpotensi untuk menjadi pengeksport daging lembu berkualiti yang utama ke Malaysia,” menurut kenyataan berkenaan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Malaysia dan Uruguay akan meningkatkan lagi usahasama dalam aspek keterjaminan makanan termasuk memperkasa lagi isu-isu halal, fitosanitari dan keselamatan makanan.
Jelasnya, Uruguay turut menyatakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan daging lembu ke rantau ini, selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadikan negara sebagai gerbang perdagangan kepada negara-negara ASEAN.
"Menteri turut memohon kerjasama pihak Uruguay untuk membekalkan maklumat mengenai keperluan import bagi produk-produk nilai tambah dari Malaysia untuk memasuki pasaran negara itu seperti produk berasaskan haiwan, telur, makanan haiwan dan vaksin haiwan serta mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Pihak KPKM berharap kerjasama dua hala ini dapat dipertingkatkan. Di akhir pertemuan, menteri telah menjemput Mattos ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 September 2024 dan turut mempelawa penyertaan pihak Uruguay dalam acara dwitahunan tersebut,” jelasnya.
Mattos berada di Malaysia dalam siri lawatan kerja selama tiga hari sejak 4 Jun lalu.
Sebelum pertemuan dengan Mohamad, beliau telah melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Datuk Azah Hanim Ahmad.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!