BRUSSELS - Wakil Tinggi Kesatuan Eropah (EU) bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Josep Borrell menggesa siasatan dijalankan ke atas serangan maut Israel ke atas Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza, yang mengakibatkan pembunuhan lebih 40 orang awam.
Borrel dalam catatan di akaun X beliau pada Khamis berkata:"Laporan yang datang dari Gaza berulang kali menunjukkan bahawa keganasan dan penderitaan masih menjadi satu-satunya realiti bagi ratusan ribu orang awam yang tidak bersalah. Berita mengerikan ini mesti disiasat secara bebas, selaras dengan perintah ICJ yang lalu," tegasnya, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Iklan
Iklan
Sementara itu, satu lagi laporan WAFA dari New York berkata, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, telah mengecam serangan udara Israel yang dahsyat pada Khamis ke atas sebuah sekolah UNRWA yang melindungi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di tengah Gaza.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai"satu lagi contoh mengerikan, harga yang dibayar oleh orang awam", lapor sumber itu.
Stephane Dujarric, jurucakap ketua PBB, memberitahu pemberita:"Ini adalah satu lagi contoh ngeri, harga yang dibayar oleh orang awam, bahawa lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin yang hanya cuba bertahan hidup."
"Sudah tentu, beliau mengecam serangan ini. Perlu ada kebertanggungjawaban atas segala yang berlaku di Gaza." - Bernama-Wafa
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!