SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil langkah proaktif dalam mengekang sebarang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu-pintu keluar serta masuk negara.
JKDM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung penangkapan tiga pegawainya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi khas dijalankan sebelum ini.
"Pendirian JKDM adalah jelas dan tegas di mana tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.
"JKDM juga masa sama akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Jelas kenyataan itu, sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM kelak.
"Usaha berterusan sentiasa dijalankan dalam membanteras aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu -pintu keluar dan masuk negara.
"JKDM turut mengucapkan penghargaan kepada pihak SPRM dan akan sentiasa komited memberi kerjasama memerangi jenayah rasuah," katanya.
Menurutnya, ia juga selaras dengan agenda utama JKDM dalam usaha memartabatkan nama baik jabatan dan perkhidmatan awam.
Pada Khamis, tujuh individu termasuk penjawat awam terlibat dalam kes 'Kontena Terbang' yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Transit.
Difahamkan kesemua yang ditahan itu disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.