'Geng Broga' aktif seludup warga Indonesia tumpas

Iklan
Tiga lelaki bertindak sebagai 'mastermind' dan 'transporter' 'Geng Broga' ditahan dalam satu operasi khas di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor pada Khamis. Foto JIM

PUTRAJAYA - Sindiket penyeludupan manusia, 'Geng Broga' yang aktif membawa masuk dan keluar warga Indonesia dari Tanjung Balai, Indonesia ke Sungai Besar, Selangor akhirnya tumpas.

Difahamkan modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menggunakan laluan laut untuk melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan itu.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia seramai 12 orang warga Indonesia dalam satu operasi khas pada Khamis di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor.

Beliau berkata, operasi bermula jam 8.05 malam itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Iklan

Kata beliau, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak dan bertembung dengan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Perodua Bezza serta Proton Waja yang dipandu tiga suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Kesemua suspek mula memecut kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 47 tahun disyaki sebagai 'mastermind' dan dua lelaki tempatan disyaki 'transporter' berusia antara 31 hingga 40 tahun berjaya ditahan.

Antara warga Indonesia yang ditahan dalam operasi berkenaan. Foto Jim

"Turut ditahan dua lelaki warga Indonesia, seorang perempuan dan kanak-kanak lelaki warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ruslin berkata, hasil soal siasat, pihaknya menyerbu kawasan paya bakau di sekitar Sabak Bernam dan berjaya menahan lapan lagi lelaki warga Indonesia yang baru tiba dari Indonesia melalui laluan laut.

Tambahnya, semakan awal mendapati dua lelaki warga Indonesia telah tinggal lebih masa, manakala 10 lagi termasuk seorang perempuan dan kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Sindiket ini menggunakan kapal nelayan dan menukar kepada bot kecil di tengah lautan," ujarnya lagi.

Pasukan serbuan JIM menahan sebuah kenderaan yang dipercayai dinaiki 'Geng Broga' dalam satu operasi khas di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor pada Khamis. Foto JIM

Ruslin berkata, 'mastermind' sindiket akan mengatur pergerakan masuk dan keluar dari Malaysia, kenderaan yang akan digunakan untuk membawa migran dan dipercayai berhubung dengan sindiket di Indonesia.

Beliau berkata, sindiket akan mengenakan bayaran RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang mengikut jantina dan dipercayai telah beroperasi selama setahun.

Katanya, tiga lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala kesemua warga Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4), Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"JIM komited untuk membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

"Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!