KULAI - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu masuk ke gaung sedalam 3 tiga meter di Jalan Jumbo, berhampiran sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Syafiq Rejab, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.39 tengah hari.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan tujuh anggota bomba dari BBP Bandar Baru Kulai dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dihantar ke lokasi.
"Setibanya ke lokasi PKO mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai telah terbabas hingga masuk ke dalam gaung sedalam tiga meter di situ.
"Terdapat seorang mangsa yang tidak sedarkan diri berada di dalam kereta dan PKO bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan tali bagi membawa mangsa naik ke atas.
"Bagaimanapun, mangsa yang didapati berusia dalam 20-an disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi," katanya.
Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 1.40 petang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!