Tiada sasaran di Glasgow - Liek Hou

Iklan
Liek Hou dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik Anugerah SAM di Kuala Lumpur pada malam Khamis.

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou enggan meletakkan sebarang sasaran pada Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa 2024 di Glasgow, Scotland, dari 18 hingga 23 Jun ini.

Sebaliknya, Liek Hou yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) mahu menggunakan peluang beraksi pada kejohanan terakhirnya sebelum Sukan Paralimpik 2024 di Paris itu untuk meninjau prestasi pemain lain termasuk musuh ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi.

Iklan
Iklan

"Saya mahu lihat di mana tahap pemain lain sama ada prestasi mereka masih sama atau sudah meningkat sewaktu bermain di Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa 2024.

"Setibanya saya di Malaysia selepas kejohanan di Glasgow nanti saya akan lakukan analisis persembahan pemain lain dan cuba cari strategi sebelum ke Sukan Paralimpik 2024," katanya ketika ditemui selepas Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Iklan

Juara bertahan Sukan Paralimpik itu mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dalam acara tersebut.

Turut dicalonkan bagi gelaran itu ialah jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim.

Iklan

Dalam pada itu, pemain berusia 36 tahun itu berkata beliau akan 'berkampung' di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, selepas pulang dari Glasgow bagi menjalani kem latihan pusat menjelang Sukan Paralimpik.

"Di MSN Bukit Jalil nanti saya akan jalani latihan penuh dengan menekankan aspek fizikal dan kecergasan," katanya.

Pemain ranking nombor satu dunia itu pada masa sama berharap beliau bebas kecederaan sekali gus dapat mencapai kemuncak prestasi pada temasya sukan berprestij dunia tersebut.

Sukan Paralimpik 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September ini.

Liek Hou telah mengumpul lima gelaran tahun ini termasuk muncul juara dunia buat kali kelapan bagi perseorangan lelaki SU5 pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 di Pattaya, Thailand, Februari lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!