[DIKEMAS KINI] GANDINGAN kudrat 57 minit Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengesahkan kemaraan beregu lelaki negara itu ke separuh akhir Terbuka Indonesia Super 1000 di Istora Senayan, Jakarta pada Jumaat.
Wei Chong-Kai Wun berstatus 20 dunia menewaskan gandingan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dalam pertarungan tiga set untuk penampilan separuh akhir pertama tahun ini.Wei Chong-Kai Wun bermula garang set pertama apabila menang 21-17 dalam pertarungan sengit untuk memimpin perlawanan.
Bagaimanapun, Ching Yao-Po Han berstatus nombor 25 dunia kembali menekan gandingan negara untuk melakukan kesilapan mudah di set kedua bagi kemenangan 21-18 seterusnya mengheret permainan ke set penentuan.
Set ketiga, Wei Chong-Kai Wun kembali memperagakan persembahan lebih bertenaga apabila meninggalkan Ching Yao-Po Han dengan kemenangan 21-10.
Sebagai rekod, Wei Chong-Kai Wun mara setelah menewaskan beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-18, 19-21, 21-12.
"Hari ini permainan ok, cuma set kedua kami agak slow sikit menyebabkan lawan berjaya mengambil peluang atas beberapa kesilapan mudah kami," ujar Man Wei Chong.
Sementara itu, kemaraan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah dihentikan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam aksi suku akhir.
Biarpun langkah Pearly-Thinaah yang akan menampilkan diri di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 disekat Qing Chen-Yi Fan di Jakarta, gandingan ranking ke-13 dunia memperagakan semangat juang tinggi setiap set sebelum tewas straight set 20-21,18-21 dalam aksi 51 minit.
"Saya amat gembira berjaya mengeluarkan game play pada hari ini walaupun kalah. Bukan puas hati tapi kami bersemangat apabila dapat semula game play kami.
"Saya harap selepas ini kami dapat perkemaskan lagi game play selain kena lebih confidence kepada diri sendiri," kata Pearly.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah mara suku akhir selepas mengejutkan pilihan kesembilan, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silvia Ramadhanti yang juga wakil tuan rumah dalam pertarungan straight set 49 minit untuk kemenangan 21-18, 21-19.
Sementara itu, Qing Chen-Yi Fan pula mengambil masa 41 minit menyingkirkan cabaran wakil dari Perancis, Margot Lambert-Anne Tran, 21-17, 21-19.
Sebagai rekod dalam dua kejuaraan terakhir bermula Terbuka Singapura Super 750, Pearly-Thinaah, dijinakkan dalam aksi 38 minit pasangan nombor tiga dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, 10-21, 10-21 pada pusingan pertama di Stadium Tertutup Singapura.
Di Malaysia Masters sebelum itu, Pearly-Thinaah juga dijinakkan beregu ranking 26 dunia dari Korea Selatan, Lee Yu-lim-Shin Seung-chan, 16-21, 11-21 dalam aksi 45 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!