PADANG BESAR - Kerajaan Perlis memberi jaminan bekalan air bersih bagi keperluan domestik pengguna dalam negeri ini masih mencukupi meskipun paras air di Empangan Timah Tasoh menurun, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, paras air di empangan menurun berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini dan dijangka berlarutan sehingga akhir Mac depan.
Iklan
Iklan
"Bekalan air ketika ini hanya cukup bagi aktiviti domestik sahaja manakala pengaliran air untuk aktiviti pertanian telah dihentikan buat sementara. Kita menjangkakan perkara ini akan pulih dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis perasmian Galeri Gua Kelam di Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam di sini, hari ini, yang disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Berdasarkan laman web JPS, paras air di Empangan Timah Tasoh setakat pukul 2.00 petang tadi mencatatkan bacaan 27.23 meter.
Selain Empangan Timah Tasoh, 50 peratus sumber air Perlis adalah dari Sungai Arau yang menerima air daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah.
Negara ketika ini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut dengan kurang taburan hujan yang akan menyebabkan cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac. - Bernama