JAGUH olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui masih banyak 'kerja rumah' yang perlu diselesaikan menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024 Ogos depan.
Atlet lontar peluru kelahiran Kuala Lumpur itu mahu memantapkan lagi teknik balingan selain ingin mengurangkan rasa gementar semasa bertanding.
Malah beliau juga enggan menaruh harapan menggunung pada temasya tersebut, sebaliknya bertekad melakukan yang terbaik untuk memburu podium.
"Banyak yang perlu diperbaiki. Sebagai atlet kena ada sasaran dan ada juga perkara yang perlu diperbetulkan.
"Dalam latihan lain, dalam perlawanan lain (perasaan), jadi itu yang saya perlu biasakan diri dan perbaiki lagi.
"Dalam perlawanan perasaan gemuruh itu lain daripada latihan biasa, jadi saya kena belajar perbaikinya.
"Itu yang saya rasa masih tak dapat buat terbaik lagi bagi mengurangkan rasa gemuruh itu," katanya.
Beliau menjelaskan sasaran untuk mengatasi catatan 17.43 meter (m) dilakukannya di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun baru-baru ini sekali gus cuba membantu kontinjen meraih kilauan pingat diharapkan.
"Saya hanya boleh janjikan untuk buat yang terbaik, saya tak nak terlampau yakin.
"Emas, perak atau gangsa tak tahu lagi. Namun saya janjikan prestasi terbaik di Paris nanti," kata pemenang pingat emas dalam acara lontar peluru F20 (kecatatan intelektual) Paralimpik Rio 2016 itu.
Ziyad ketika menyertai temasya di Tokyo empat tahun lalu mengalami detik memilukan apabila diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa dirinya lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
"Perkara sudah berlalu, saya tidak mahu fikirkan. Cuma mahu fokus ke depan dan buat yang terbaik untuk dapat pingat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!