Malaysia, New Zealand zahir komitmen tingkat kerjasama pelbagai bidang

Iklan
Anwar mengadakan pertemuan dengan Winston Peters (dua, kanan) ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri New Zealand yang juga Menteri Luar itu, di Perdana Putra pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Malaysia dan New Zealand menzahirkan komitmen dalam memperkasakan dan mengembangkan lagi kerjasama dua hala terutamanya dalam sektor peralihan tenaga, perdagangan dan pelaburan, pendidikan serta pertahanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dizahirkan sewaktu menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand Winston Peters di bangunan Perdana Putra pada petang Jumaat.

Iklan
Iklan

"Kami juga saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama termasuklah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025," kata Anwar dalam kenyataan pada Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut mengalu-alukan lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon ke Malaysia pada awal September nanti.

Iklan

Turut serta dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Peters kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia yang merupakan persinggahan kedua dalam rangka lawatan beliau ke empat negara Asia Tenggara, selepas Vietnam. Lawatan kerja itu mencerminkan dasar-dasar New Zealand yang mengutamakan kerjasama dengan negara-negara di rantau itu yang sedang membangun dengan dinamik.

Iklan

Malaysia dan New Zealand memulakan hubungan diplomatik pada 25 September 1967 dan sejak itu, hubungan antara kedua-dua negara terus kukuh dan stabil.

Malaysia secara konsisten menyambut baik kehadiran pelancong yang semakin meningkat dari New Zealand setiap tahun, dengan 18,238 pelancong melawat negara pada 2022. Selain itu, 17,000 rakyat Malaysia ketika ini menetap di New Zealand.

Di rantau Pasifik, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (AS$1.42 bilion) setakat Jun 2023. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!