SHAH ALAM - Pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan individu yang mempunyai latar belakang perundangan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana dengan ilmu berkenaan bakal pengerusi itu sekurang-kurangnya mengetahui perkara yang dikatakan sebagai reformasi.
"Bagi saya, latar belakang perundangan memang sangat mustahak supaya dia tahu perkara yang melibatkan undang-undang di negara ini.
"Kriteria untuk memilih Pengerusi SPR yang baharu ini umum, tentulah kita nak orang yang benar-benar minat.
"Sebagai contoh, ada orang nak masuk meminang anak saya, mesti saya nak tahu adakah dia betul-betul minat anak saya,” katanya dalam Wacana Bersih bertajuk ‘Siapa Yang Layak?’ Lantikan Pengerusi SPR, Reformasi Pilihan Raya dan Kesan Jangka Panjangnya pada Jumaat.
Program tersebut turut dihadiri panelis lain iaitu Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz; Pakar Hal Ehwal Parlimen, Maha Balakrishnan dan mantan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming bersiaran langsung di Facebook.
Tambah Saifuddin, individu berkenaan perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap perkara yang dilakukan.
"Sekurang-kurangnya kita tahu dia minat (perundangan), kalau tidak, buat apa lantik orang yang tidak minat.
"Semua ada hak dan kriteria seseorang untuk melantik mereka sebagai pengerusi atau anggota,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!