KUALA PILAH - Siapa sangka sebuah rumah teres setingkat di sini dipenuhi ribuan barangan lama apabila pemiliknya sanggup berhabis RM300,000 untuk menjadikan kediaman itu umpama rumah klasik dan galeri.
Mana tidaknya, sebaik memasuki kediaman pasangan suami isteri, Mohd Noor Abdullah, 68, dan Rubiah Abdul Hamid, 72, ini pelbagai barangan seperti telefon, radio, pinggan mangkuk, bagasi lama dan hiasan dinding menghiasi segenap ruang rumahnya.
Mohd Noor berkata, idea untuk mengumpul barangan lama itu tercetus lebih 10 tahun lalu selepas bersara sebagai pekerja kedutaan Australia di Kuala Lumpur.
"Masa itu dah tinggal berdua sebab dua anak kami pun sudah ada pekerjaan masing-masing dan kebetulan pula arwah mak dan ayah ada banyak simpan barangan lama, jadi saya fikir baiklah saya ambil buat hiasan.
"Selain itu, ada barangan lama yang saya cari di kedai-kedai barangan terpakai. Ada juga yang saya jumpa di tong sampah,seperti kerusi dan kelarai," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Mutiara di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohd Noor turut berkongsi kegembiraannya apabila barangan lama yang dibeli di luar negara berharga kurang RM900 selepas mendapat tawaran paling minimum yang diperolehinya dari Indonesia, Australia, London dan Mesir.
Katanya, susulan itu dia nekad mengubah suai kediamannya berkonsepkan tradisional bermula daripada dinding, siling, bilik tidur, bilik air dan dapur sesuai dengan minatnya terhadap barangan lama itu.
"Kalau dikira jumlahnya mencecah RM300,000 jugalah tetapi semuanya dilakukan secara peringkat.
Dia turut mengalu-alukan kedatangan orang ramai namun tidak menggalakkan kehadiran mereka pada hujung minggu susulan ia menjadi tumpuan pasangan pengantin.
"Bagaimanapun, kami tidak menggalakkan kehadiran kanak-kanak kerana ada yang agak lasak sehingga ada barangan antik yang pecah selain barangan itu sukar dicari ganti," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!