RIO GRANDE DO SUL - Sejak beberapa minggu kebelakangan ini beberapa negara seperti Brazil, Colombia dan Jerman turut dilanda bencana banjir akibat tempias fenomena La Nina yang mengakibatkan kemalangan jiwa, dan perintah darurat dilaksanakan untuk mengurangkan risiko kematian.
Di Brazil, penduduk Rio Grande do Sul, wilayah yang dilanda hujan lebat dan banjir yang memusnahkan selatan negara itu terus bergelut untuk bertahan dalam situasi tersebut.
Menurut media tempatan, operasi pengumpulan dan pembersihan juga dijangka berlangsung selama seminggu.
Aktiviti pembersihan diteruskan di rantau itu, dengan penduduk tempatan meninggalkan perabot dan peralatan yang rosak di jalanan.
Beberapa sukarelawan turut membersihkan sekolah yang rosak dalam usaha memastikan pelajar kembali ke sekolah secepat mungkin.
Menurut laporan terbaharu yang dikongsi oleh Agensi Pertahanan Awam Rio Grande do Sul pada Rabu, ribut dan banjir sejak akhir April telah menjejaskan 476 majlis perbandaran, 572,781 orang kehilangan tempat tinggal, 806 cedera, 41 hilang serta 172 kematian disahkan.
Sementara itu di Colombia, sekurang-kurangnya dua orang maut dan 4,000 terjejas akibat banjir di Casanare.
Menurut kerajaan tempatan pada Selasa, hujan lebat membanjiri kawasan savana yang luas di bawah air menyebabkan tanaman dan tanah ladang musnah.
Gabenor Casanare mengisytiharkan wilayah berkenaan di bawah bencana awam pada Rabu bagi musim hujan pertama.
Institut Meteorologi Colombia meramalkan peralihan antara El Nino ke La Nina iaitu daripada panas dan sejuk, dalam fenomena yang sama pada bulan Mei dan Jun.
Di Jerman, anggota penyelamat mengedarkan bantuan makanan dengan bot kepada penduduk yang terkandas ketika sebahagian besar selatan negara itu masih ditenggelami air banjir sejak Jumaat yang kini meragut lima nyawa.
Ketika ini polis melaporkan beberapa penduduk masih hilang, selain berjaya membawa turun seorang wanita yang terperangkap atas pokok selama 52 jam dan mengesan seorang lelaki berusia 32 tahun yang terperangkap di dalam hutan berhampiran Neu-Ulm, Bavaria menggunakan dron serta helikopter.
Di tenggara bandar Passau berdekatan sempadan dengan Austria telah menyaksikan sebahagian besar pusat itu ditenggelami air.
Bandar yang terletak di pertemuan Sungai Danube dan Inn telah diisytiharkan darurat apabila sungai melimpah dari tebing.
Justeru, Perdana Menteri Bavaria, Markus Soeder berkata, kerajaan wilayah telah menyediakan sekurang-kurangnya 100 juta euro (RM510 juta) bantuan kepada mangsa banjir. - Agensi