Perlis perlu bijak ambil peluang tarik kehadiran pelancong

Iklan
Abu Bakar (empat dari kanan) ketika menghadiri acara layang-layang Malaysia dan Thailand sempena Festival Rakyat 2024 di Kuala Perlis baru-baru ini.

KANGAR - Kerajaan Perlis perlu memperhebatkan lagi Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dalam mempromosikan negeri ini sebagai destinasi percutian pilihan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, kelebihan Perlis yang berada di sempadan negara juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menarik kehadiran pelancong luar negara terutamanya dari Thailand.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelancong tempatan yang mahu ke negara Gajah Putih itu juga boleh singgah di negeri ini untuk bermalam sambil menikmati keindahan panorama sebelum meneruskan perjalanan melalui Padang Besar dan Wang Kelian.

"Kita kena ambil peluang. Contohnya bila orang nak ke Thailand, mereka kena melalui Perlis di Padang Besar, Wang Kelian dan sepatutnya (aktiviti) pelancongan diwujudkan di situ.

Iklan

"Selain itu, pelancong yang nak ke Pulau Langkawi (dengan feri) juga perlu melalui Kuala Perlis. Jadi perlu ada benda-benda itu (tarikan pelancongan),” katanya.

Beliau yang baru menganjurkan Majlis Malam Citra Warna Kuala Perlis dan Festival Rakyat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Tuanku Raja Perlis di Dataran Lok9, Kuala Perlis mengakui gembira kerana program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk termasuk pelancong apabila lebih 17,000 orang hadir.

Iklan

Jelasnya, usaha berkenaan adalah salah satu cara untuk Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 terutamanya di Kuala Perlis yang sememangnya sinonim dengan kehadiran pelancong luar.

Bagaimanapun, tegasnya kempen seperti itu masih perlu diperkasakan dengan lebih agresif oleh Kerajaan Perlis.

"Saya nampak kempen ini agak perlahan. Saya tak boleh sebut gagal. Mungkin baru tapi masih mendatar, tapi sebenarnya macam saya kata tadi, masih lagi mencari rentak macam mana nak tarik orang datang ke Perlis,” ujar beliau lagi.

Pada 8 Disember 2023, Perlis menyasarkan kehadiran sebanyak 3.5 juta pengunjung sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri akan melancarkan program, acara dan tawaran menarik yang bersesuaian bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!