SHAH ALAM - Program Jelajah Antirasuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), usaha sama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Rasuah Busters yang kini memasuki siri kedua bakal bermula pada 10 hingga 14 Jun ini.
Timbalan Ketua Unit Integriti Mara, Ahmad Sofi Abdullah berkata, program itu melibatkan empat MRSM iaitu di Pasir Salak, Parit, Taiping dan Sultan Azlan Shah.
"Anggaran peserta pada kali ini seramai 2,498 pelajar, 380 guru dan kakitangan MRSM.
"Selain itu, turut diadakan Program Sembang Santai Integriti bersama warga kerja MARA pada 14 Jun di Pejabat MARA Perak sebagai program kemuncak jelajah siri kedua ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Ahmad Sofi, siri pertama jelajah berkenaan pada April lalu memberi kesan kepada pelajar berkaitan isu rasuah dan akibat buruk sekiranya terlibat jenayah.
Jelasnya, berdasarkan maklum balas diterima selepas program, guru juga memberi respons sangat baik atas usaha membudayakan nilai integriti dan tatakelola dalam kalangan pelajar dan warga maktab.
"Program Jelajah Antirasuah Rasuah Busters X Mara turut mewujudkan budaya kerja baik dalam mendukung nilai integriti dalam pekerjaan harian.
"Modul diperkenalkan Rasuah Busters amat dekat di hati pelajar dan warga maktab kerana pendekatan yang santai, berdasarkan isu sebenar selain dikaitkan dengan pengajaran dalam al-Quran yang menjadi inti pati kandungan modul.
"Pelajar juga lebih selesa dan memahami dengan baik kandungan disampaikan dan kami mendapat respons positif ketika pengajaran dalam slot lukisan noodle,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, cabaran rasuah dalam teknologi dan evolusi Sains adalah perangkap samar yang harus disedari pelajar agar solusi dapat dihasilkan secara optimum.
Ujarnya, sebagai sekolah yang melahirkan pelajar jurusan sains, benteng teguh perlu dibina segera bagi membendung korupsi yang banyak berlaku dalam bidang berkenaan.
"Kita akan memberi kerangka asas dalam advokasi integriti kepada pelajar sejajar kadar intelektual mereka di sekolah menengah melalui pengalaman yang kita perolehi daripada libat urus sebelum ini.
"Pelajar merupakan aset untuk melakar sejarah negara yang lebih mulia pada masa akan datang,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!