TUAN rumah Euro 2024, Jerman terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Greece pada Sabtu yang merupakan aksi pemanas badan terakhir sebelum kejohanan Eropah itu bermula minggu depan.
Pascal Gross merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-89 ketika Jerman menunjukkan mereka masih mempunyai ruang untuk memperbaiki permainan menjelang aksi pembukaan Euro menentang Scotland pada 14 Jun.
"Kami tahu dalam bola sepak separuh masa pertama yang buruk akan mempengaruhi perlawanan.
"Terlalu banyak kesilapan. Kami menghadiahkan bola kepada lawan terlalu kerap, kemudian kami dibolosi sebelum rehat. Kami lebih fokus pada separuh masa kedua. Kami melakukannya dengan lebih baik selepas rehat," kata pemain tengah Jerman, Toni Kroos.
Dalam perlawanan itu, Giorgos Masouras membuka jaringan pada minit ke-33 untuk Greece sebelum Kai Havertz meledak gol penyamaan pada minit ke-55 dan Gross mengesahkan kemenangan Jerman menerusi gol pada penghujung perlawanan.
"Separuh masa kedua sekurang-kurangnya lebih baik daripada yang pertama. Kami kehilangan penguasaan bola terlalu banyak pada separuh masa pertama itu.
"Kami terlalu perlahan dan kami menanganinya pada separuh masa kedua. Kami kembali berkumpul pada Isnin untuk mula membuat persediaan menentang Scotland.
"Mereka adalah lawan yang mempunyai banyak kualiti dan kami akan membuat persiapan yang baik," kata pengendali Jerman, Julian Nagelsmann.
Selain Scotland, Jerman juga akan menentang Hungary dan Switzerland dalam Kumpulan A Euro.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!