KUALA LUMPUR - Cuma sekadar suka-suka. Itu alasan diberi dua penunggang motosikal selepas ditahan pada Sabtu kerana melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.
Mereka ditahan pada jam 1.50 pagi dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan sepasukan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Pemangku Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, pemantauan pihaknya mendapati dua lelaki terbabit menunggang dengan aksi 'superman' dan bersaing sesama sendiri.
Menurutnya, kedua-dua penunggang berusia 21 dan 22 tahun ditahan, manakala motosikal digunakan jenis Yamaha Y15ZR disita.
"Tindakan diambil mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Soal siasat awal pasukan operasi mendapati mereka yang menetap di Klang, Selangor itu dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran di Seremban dan aksi berbahaya itu dilakukan sekadar suka-suka," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, polis turut mengeluarkan enam saman atas kesalahan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, ekzos bising serta ubah suai struktur.
Katanya, operasi itu dijalankan bagi membendung kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Tegas Mohd Nasri, penunggang motosikal diingatkan untuk patuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
"Kita tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan dan pemalsuan butir kenderaan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!