DOF giat usaha pantau terumbu karang, kualiti air

Iklan
DOF akan terus menjalankan pemantauan berterusan terhadap terumbu karang dan kualiti air bagi memelihara perairan lautan negara. Gambar hiasan (Gambar kecil: Adnan)

SHAH ALAM - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan terus menjalankan pemantauan berterusan terhadap terumbu karang serta kualiti air bagi memelihara perairan lautan negara.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pemantauan secara berkala akan dilaksanakan bersama badan bukan kerajaan, penyelidik tempatan dan sukarela untuk menilai kesihatan serta kepelbagaian spesies kehidupan laut itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia dilaksanakan dengan tema sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 iaitu Tindakan Pemangkin untuk Lautan dan Iklim Kita.

"Pemantauan ini penting untuk mengenal pasti ancaman dan tekanan

Iklan

yang dihadapi oleh terumbu karang seperti perubahan iklim, penangkapan ikan yang tidak mampan serta pencemaran berasaskan daratan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Adnan, pemantauan tahunan kualiti air di Taman Laut juga dijalankan bagi memantau tahap kualiti air yang mempengaruhi faktor kesihatan habitat terumbu karang.

Iklan

Beliau memaklumkan DOF menempatkan lima stesen tetap pemantauan kualiti air di Taman Laut yang mencerap data pada sela masa lima minit.

"Data pemantauan ini akan membantu kami dalam menilai langkah atau tindakan proaktif terhadap kesan perubahan iklim ke atas ekosistem lautan negara.

"Kami juga terlibat dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di kawasan yang terdegradasi. Pendekatan restorasi adalah kaedah untuk memulihkan habitat yang diancam kemerosotan,” ujarnya.

Selain itu, menurut Adnan, kawasan seluas 1,045.63m2 di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu berjaya dipulihkan dan direstorasi daripada kesan kemusnahan akibat Ribut Tropika Pabuk pada 2019.

Katanya lagi, Taman Laut Pulau Payar Kedah, kawasan seluas 813m2 berjaya dipelihara dan usaha berkenaan diteruskan di beberapa lokasi lain yang dikenal pasti di sekitar kawasan Taman Laut seperti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang, Terengganu.

"Taman Laut Pulau Tioman, Sibu-Tinggi, Redang dan Perhentian dikenal pasti sebagai kawasan terumbu karang yang berdaya tahan ‘resilience’ daripada sebarang ancaman perubahan iklim.

"Kawasan ini diberikan perlindungan sepenuhnya supaya tidak mengalami kelunturan karang di masa hadapan dan penekanan lebih melalui

pengezonan khas untuk memulihara habitat unik yang berada di kawasan tersebut,” jelasnya.

Adnan menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pemuliharaan lautan dengan mengurangkan sisa plastik, menyokong amalan penangkapan ikan mampan.

Ujarnya, ini kerana sambutan Hari Laut Sedunia disambut pada 8 Jun bagi membolehkan mereka turut menyumbang kepada kesihatan serta kelestarian lautan demi generasi semasa dan akan datang.

"Bersama-sama kita boleh membuat perubahan dan memastikan masa depan yang mampan untuk persekitaran marin,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!