MAKKAH - Kejayaan yang dicapai oleh syarikat Mashariq Holdings dan Lembaga Tabung Haji (TH) adalah hasil kerjasama dalam merancang persiapan secara efektif untuk memastikan semua keperluan jemaah haji tahun ini dipenuhi.
Pengerusi Lembaga Pengarah Al Mashariq Al Masiyyah, Ali Hussein Al Bundugi berkata, kerjasama itu bukanlah sesuatu yang baharu dan telah wujud sejak tiga dekad lalu, bermula dari zaman ketika ayahnya memimpin syarikat tersebut.
"Kerjasama jangka panjang ini membolehkan perancangan strategik yang menyeluruh dan persiapan awal. Ini bermakna kedua-dua pihak dapat menjangka keperluan dan cabaran masa depan, menjadikan lebih mudah untuk menangani (cabaran) secara proaktif," katanya.
"Dengan kerjasama jangka panjang yang stabil, organisasi dapat memperuntukkan sumber dengan lebih berkesan, termasuk pelaburan kewangan, kakitangan dan masa, justeru memastikan semua bahagian mendapat sokongan sewajarnya," katanya kepada media di pejabatnya, baru-baru ini.
Beliau berkata, persiapan awal dan usaha sama berterusan membantu memastikan semua keperluan pematuhan dan pensijilan dipenuhi sekali gus mengekalkan standard serta mendapat kelulusan yang diperlukan.
Mashariq Holdings berperanan selaku penyedia kemudahan dan perkhidmatan asas berkaitan haji bagi jemaah Malaysia di Arab Saudi.
"Sebagai contoh, kerjasama ini membuahkan hasil apabila kami diberi penghormatan oleh pihak berkuasa Saudi untuk memilih lokasi perkhemahan di Arafah dan Mina, yang memberikan kelebihan besar kepada kami dan TH.
"Selain itu, kami berjaya membuat beberapa penambahbaikan dan mencipta persekitaran yang inovatif seperti menyediakan permaidani di kedua-dua tapak perkhemahan, unit penyaman udara tambahan kepada yang disediakan oleh pihak berkuasa Saudi dan minuman panas dan sejuk," katanya.
Ali Hussein berkata, kerjasama jangka panjang itu juga dapat membantu mengenal pasti risiko dengan membolehkan syarikat merangka strategi untuk menangani masalah dan memastikan operasi berjalan lancar.
Kerjasama itu katanya telah berjaya menunjukkan kebolehan Tabung Haji sebagai organisasi yang kukuh dalam menguruskan jemaah haji sehingga diiktiraf di peringkat dunia.
Menurutnya kejayaan yang dicapai oleh Malaysia, khususnya TH, mendorong negara seperti Sudan dan Thailand untuk turut menandatangani kerjasama jangka panjang bagi memastikan keselesaan jemaah haji.
"Selain Malaysia, China, Sudan dan Thailand, dua negara Afrika telah menjadi negara baharu yang diuruskan pihak kami iaitu Guinea dan Rwanda," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!