KUALA NERUS - Sebanyak 16 beca dan lapan kenderaan berhias menyertai perarakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di sini pada Jumaat malam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli hadir pada acara gilang-gemilang itu yang berlangsung di Dataran Jambatan Angkat.
Acara itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta diserikan dengan kehadiran ribuan penonton yang teruja menyaksikan majlis perarakan dan pertandingan kenderaan berhias berkenaan.
Perarakan itu melibatkan sebanyak lapan kenderaan berhias dari kesemua pejabat daerah di Terengganu iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus.
Selain itu, perarakan beca daripada 16 anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan Pusat termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diadakan bagi memeriahkan pertandingan tersebut.
Pertandingan yang bermula jam 9 malam itu menyaksikan peserta bergerak sejauh kira-kira empat kilometer yang bermula dari Bulatan Teluk Ketapang dan berakhir di Seberang Takir di sini.
Pertandingan kenderaan berhias itu bertujuan menonjolkan keistimewaan produk di setiap daerah dan agensi yang ada di Terengganu melalui rekaan, struktur dan simbolik hiasan yang dihasilkan pada kenderaan dan beca.
Sementara itu, daerah Kemaman sekali lagi muncul juara dengan membawa pulang hadiah RM20,000, piala dan sijil penyertaan.
Tempat kedua pula dimenangi daerah Besut dengan membawa pulang hadiah RM15,000, piala dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga kekal dimenangi oleh Daerah Kuala Nerus dengan hadiah RM10,000, piala dan sijil penyertaan.
Tempat keempat dimenangi oleh daerah Kuala Terengganu yang membawa pulang RM5,000 dan tempat kelima dimenangi oleh daerah Dungun dengan hadiah RM4,000.
Selain itu, bagi kategori beca pula johan dirangkul oleh Cas Ligas Sdn Bhd yang membawa pulang hadiah RM5,000, piala dan sijil penyertaan manakala tempat kedua dimenangi oleh Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (RM4,000) dan tempat ketiga jatuh kepada TDM Bhd (RM3,000).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!