Pemilik premis bantah caj parkir di kawasan industri kecil

Iklan
Peniaga berkumpul membantah sistem parkir berbayar di Kepong Entrepreneurs Park di sini.

KEPONG - Sebanyak 800 pemilik premis Kepong Entrepreneurs Park di sini membantah sistem parkir berbayar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilaksanakan di kawasan itu sejak awal tahun ini.

Wakil peniaga, Lee Hoi Eng berkata, pelaksanaannya dilakukan tanpa memdapatkan pandangan atau perbincangan bersama pemegang taruh terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka hanya mengetahui pelaksanaan sistem tersebut selepas penguatkuasaan kompaun dijalankan awal Januari lalu.

"Sudah keluar kompaun baru DBKL gantung kain rentang pemakluman pada Mac.

Iklan

"Kami telah menghantar surat kepada DBKL memohon penjelasan tetapi sampai sekarang masih tiada maklum balas," katanya kepada Sinar Harian.

Antara peniaga yang telah dikenakan kompaun sejak pelaksanaan sistem parkir berbayar sejak awal tahun ini.

Beliau yang juga Ketua Biro Aduan Parti Rakyat Malaysia (PRM) berkata, kawasan itu ditubuhkan sejak 1990 dan tidak pernah dikenakan caj parkir.

Iklan

Ujarnya, sistem tersebut cuba dilaksanakan pada 2000 dan 2015 namun campur tangan ahli Parlimen terdahulu berjaya membatalkan dasar tersebut.

"Jika ikut kepada perjanjian jual beli (SNP), kawasan ini merupakan industri ringan, kenapa mahu dinaik taraf menjadi komersial sekarang?

"Jika mahu diubah menjadi komersial, banyak kilang-kilang seperti pembuatan besi dan bengkel perlu dipindahkan, tidak boleh lagi beroperasi di sini," katanya.

Tambahnya, pelaksanaan sistem baharu itu dianggap membebankan susulan pemilik premis sudah dikenakan pelbagai caj perniagaan tahunan termasuk lesen perniagaan dan papan tanda serta cukai taksiran.

"Melalui sistem ini, pemilik premis boleh membuat sewaan dengan harga RM250 satu petak manakala pekerja ditawarkan pas bulanan RM150.

"Bagaimana dengan pengusaha bengkel yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga ke empat petak. Itu tidak termasuk sewa premis. Tidak patut kami dibebankan dengan pelbagai kos seperti ini," katanya.

Justeru katanya, mereka berharap meja rundingan dibuka antara DBKL dan pemilik premis bagi penyelesaian terhadap isu tersebut.

"Kami juga telah hantar surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, harap beliau dapat turun dengar masalah kami," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!