SEREMBAN - Pergerakan mencurigakan sebuah lori yang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, lewat tengah malam tadi membongkar kegiatan penyelewengan diesel.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan Op Tiris pada jam 12.15 pagi itu, sebanyak 300 liter minyak diesel disyaki bersubsidi dianggarkan bernilai RM645 dirampas.
"Serbuan dibuat hasil risikan dilakukan dan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun turut ditahan,"k atanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, turut disita dalam serbuan tersebut, sebuah lori, enam unit tangki berkapasiti 1,000 liter, dua unit motor pam dan satu hos getah.
Tambahnya, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,045.
"Satu kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Ia bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut," katanya.
Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!