SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan usaha memperkasa asnaf fakir dan miskin melalui program pembangunan yang dijalankan di negeri ini.
LZS memaklumkan, program tersebut merangkumi bidang keusahawanan, pendidikan serta kerjaya dan kemahiran.
Menurutnya, seramai 152 daripada 1,400 asnaf yang mengikuti program keusahawanan tahun lepas berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.
"Hasil program dijalankan juga, seramai 103 asnaf menerima peluang pekerjaan melalui program-program kerjaya yang dijayakan," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu.
LZS berkata, kejayaan pemerkasaan asnaf itu adalah hasil sokongan menerusi kutipan pembayar zakat.
"Kami perlukan sumbangan dalam bentuk zakat daripada syarikat, peniaga dan setiap individu untuk menjayakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan.
"Sesungguhnya setiap harta yang dikongsi akan dilipatgandakan. Rebat cukai 100 peratus," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!