Terperdaya pelaburan emas, suri rumah rugi lebih RM125,000

Iklan
Seorang suri rumah mendakwa terpaksa menanggung kerugian RM125,491 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan emas. (Gambar kecil: Mohd Khairi) Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah mendakwa terpaksa menanggung kerugian RM125,491 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan emas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu mula terjebak dalam pelaburan itu selepas diperkenalkan dengan pakej emas murah oleh kakak iparnya tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu mangsa berada di rumahnya di daerah ini sekitar jam 6 petang pada 10 Ogos 2021.

"Mangsa yang tertarik dengan penerangan itu menjadi ejen di bawah kakak iparnya sebelum membuat pembelian emas melalui transaksi secara dalam talian ke dua akaun iaitu akaun syarikat pelaburan dan akaun kakak iparnya.

Iklan

"Mangsa bagaimanapun tidak lagi menerima bayaran dan diberikan emas yang dibeli termasuk untuk ejen dan pelanggan di bawahnya bermula September 2023," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Mohd Khairi berkata, hasil perbincangan bersama pemilik syarikat itu pada November 2023, suspek bersetuju untuk membuat bayaran balik modal jual beli emas secara ansuran dan membuat surat perjanjian.

Iklan

"Mangsa berasa ditipu kerana tidak lagi menerima sebarang bayaran baki tertunggak sebanyak RM125,491 dan tampil membuat laporan polis pada 18 April lalu," katanya.

Beliau berkata kes itu masih dalam tindakan dan pihak polis sedang mengesan suspek bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan skim-skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa singkat.

"Pelabur boleh mendapatkan pengesahan mengenai status pelesenan institusi kewangan terbabit dalam aktiviti pengambilan deposit yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau individu dan syarikat yang terbabit dalam aktiviti yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti masing-masing di laman web www.bnm.gov.my dan www.sc.com.my,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!