Harimau Malaya pernah menang 10-0 lawan Papua New Guinea - Pan-gon

Iklan
Pan-gon. Foto Bernama

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon tetap percaya skuad Harimau Malaya akan mampu untuk mencari jaringan besar ketika menentang Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa ini.

Menurutnya, skuad negara pernah menang besar ke atas Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan pada tahun lalu dan tidak mustahil ia akan dapat diulangi pada perlawanan menentang Taiwan itu nanti.

Iklan
Iklan

Untuk rekod, kemenangan ke atas Papua New Guinea itu dianggap yang terbesar pernah direkodkan di laman sendiri selepas kali terakhir Harimau Malaya 'berpesta gol' ketika membenam Timor Leste 7-1 dalam aksi pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 Jun 2019.

"Ia agak sukar, tetapi apa yang kami ada sekarang akan kami gunakan untuk menentang Taiwan. Kami pernah berpengalaman menang 10-0 menentang Papua New Guinea di laman sendiri.

Iklan

"Jadi, ia tidak mustahil. Kami yakin akan dapat melakukan sesuatu (di Bukit Jalil)," katanya.

Skuad negara berdepan tugas sukar untuk mencipta keajaiban mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia selepas seri 1-1 dengan Kyrgyzstan pada Khamis.

Iklan

Ia sekali gus meletakkan Malaysia menghuni tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata iaitu tiga mata di belakang Kyrgyzstan yang mempunyai kelebihan gol sebelum perlawanan terakhir.

Oman pula memimpin carta kumpulan dengan 12 mata dan telah mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Pada perlawanan terakhir kumpulan, Malaysia dalam keadaan defisit dua gol akan menerima kunjungan Taiwan di Bukit Jalil, manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol akan ke Muscat bertemu Oman.

Andai gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia juga akan hilang kelayakan automatik ke final Piala Asia 2027 dan perlu bermain dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 untuk melayakkan diri buat kali kedua ke Piala Asia di Arab Saudi tiga tahun lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!