JOHOR BAHRU – Taktik seorang warga asing yang mengemukakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) agar tidak ditahan ketika diserbu Jabatan Imigresen Johor (JIM) dalam Op Sapu pada awal pagi Sabtu memakan diri apabila dia ditahan setelah kad berkenaan didapati palsu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Negeri Johor, Jafri Embok Taha, lelaki warga Myanmar itu memuat turun kad tersebut sebelum membuat beberapa perubahan dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.
"Pada operasi kali ini, seorang warga asing tunjukkan kad UNHCR kepada kita supaya dia tidak ditahan.
"Bagaimanapun, kita dapati kad tersebut adalah palsu,” katanya.
Jafri berkata demikian kepada pemberita setelah selesai melakukan serbuan di sebuah tapak pembinaan di Johor Bahru pada awal pagi Sabtu.
Seramai 122 warga asing dan seorang warga tempatan berusia 35 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.
"Semua yang kita tahan adalah lelaki, tak ada perempuan kerana di tapak pembinaan memang tak ada perempuan.
"Kesemua yang ditahan ini akan dibawa ke depot Setia Tropika untuk proses dokumentasi,” katanya.
OP Sapu: JIM Johor tahan 92 PATI
Dalam pada itu di PONTIAN, Jafri berkata, seramai 92 warga asing termasuk seorang warga tempatan ditahan pihaknya di sebuah tapak pembinaan di sini, pada awal pagi Sabtu.
Jafri berkata, kesemua yang ditahan melibatkan 30 warga China, India (empat), Pakistan (satu), Bangladesh (53) dan empat warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun yang didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki permit kerja yang sah.
"Kejayaan operasi kali ini adalah hasil siasatan yang dibuat selama dua minggu susulan aduan awam yang mengatakan terdapat warga asing bekerja tanpa permit sah.
"Kita buat pemeriksaan dan menahan 92 daripadanya atas pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan dikenal pasti adalah tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Operasi mulai jam 12.45 pagi itu turut dibantu kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Kesemua warga asing yang ditahan itu dipercayai bekerja di sebuah tapak pembinaan berhampiran.
Sementara itu difahamkan, pihak JIM Negeri Johjor turut menahan seorang lelaki warga tempatan kerana cuba melindungi kesemua warga asing berkenaan.
"Dalam serbuan ini kita tahan seorang lelaki warga tempatan yang didapati cuba untuk melindungi PATI (pendatang asing tanpa izin) ini.
"Dia akan dituduh bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana cuba melindungi PATI,” katanya.