KKM tambah 9 lokaliti baharu pelepasan nyamuk BerWolbachia tahun ini

Iklan
Dr Dzulkefly (tengah) meneliti nyamuk Aedes berWolbachia yang dipamerkan pada Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira, pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah sembilan lagi lokaliti bagi projek pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia melibatkan beberapa negeri di Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif itu susulan kejayaan dan keberkesanan projek berkenaan yang mula dilaksanakan pada 2019 dalam usaha memerangi kes denggi.

Iklan
Iklan

"Kita akan menambah (lokaliti pelepasan nyamuk berWolbachia) fokus kita adalah di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Johor termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya akan memastikan tapak pembinaan juga akan menjadi antara fokus hotspot diberikan tumpuan.

"Sehingga kini sebanyak 35 lokaliti pelepasan telah dilaksanakan di seluruh negara dan selepas empat tahun pelaksanaan bilangan kes denggi menurun antara 45 hingga 100 peratus di 19 lokaliti pelepasan yang telah layak dinilai," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Denggi Asean 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira pada Sabtu.

Dzulkefly berkata, projek pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia di Kem Kementah Desa Setia Wira di sini turut menunjukkan kadar penurunan kes denggi sebanyak 87.2 peratus sejak bermula pada 2020.

Iklan

Beliau memaklumkan pihak KKM juga telah memohon peruntukan dalam Bajet 2025 untuk pelaksanaan projek pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia itu.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, bagi tempoh Januari hingga 1 Jun 2024, sebanyak 64,629 kes denggi dilaporkan berbanding 48,723 kes bagi tempoh sama tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 15,906 kes atau 32.6 peratus.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 48 kematian membabitkan kes denggi telah dilaporkan berbanding 34 kematian pada 2023.

Mengenai program hari ini, beliau menyeru semua pihak untuk turut sama menjalankan aktiviti 'Cari dan Musnah' tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing selama 10 minit setiap minggu serta menjadikan aktiviti gotong-royong 'One Hour Malaysia Clean Up' sebagai aktiviti bulanan.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!