JOHOR BAHRU - Taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun, ditangguhkan selepas poster program berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan kontroversi.
Menerusi muat naik di laman Facebook, ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Heng berkata, taklimat berkenaan diadakan bertujuan menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.
"Sebagai contoh: Bapa Malaysian, Ibu Indonesian. Perkahwinan tidak sah taraf dan tidak didaftarkan di Malaysia. Anak yang lahir tidak mempunyai sijil kelahiran, ibu tidak dapat dikesan.
"Akibatnya anak tidak dapat bersekolah, sukar mencari pekerjaan tetap yang dibayar gaji setimpal, tidak layak memiliki kenderaan juga lesen memandu seterusnya terlibat dalam kes jenayah/masalah sosial," ujarnya dalam muat naik tersebut.
Beliau yang juga Setiausaha DAP Johor, menjelaskan senarai dokumen yang diperlukan untuk dirujuk turut disediakan.
"Dalam taklimat tersebut akan disediakan senarai dokumen yang diperlukan bagi setiap kes, penerangan untuk merujuk kepada jabatan yang terlibat yang perlu dikunjungi dan sebagainya.
Justeru, beliau berharap tiada sebarang spekulasi timbul terhadap poster terbabit.
"Diharap tiada pihak menimbulkan sebarang spekulasi berikutan salah faham yang telah timbul dari tajuk poster kami sebelum ini," ujarnya.
Menerusi poster yang tular di Facebook dan TikTok, pelbagai komen negatif diberikan termasuk ada yang mempersoalkan taraf warganegara mudah diberikan selain mahu pihak berkuasa melakukan siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!