SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan penglibatan dalam program permohonan kewarganegaraan seperti mana yang tular di media sosial baru-baru ini.
JPN dalam kenyataan berkata, permohonan berkaitan kewarganegaraan hanya boleh dibuat di kaunter pejabat JPN sahaja dengan kehadiran pemohon itu sendiri.
"JPN sentiasa ingin menegaskan penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Sabtu, sebuah hantaran tular di media sosial melibatkan satu poster program permohonan kewarganegaraan.
Dalam pada itu, ujar JPN, proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang ada bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terjamin.
"JPN ingin memaklumkan program yang dihebahkan tersebut adalah tidak melibatkan pihak jabatan ini sama sekali.
"Ianya bukan anjuran bersama JPN, malah tiada jemputan penyertaan JPN ke program terbabit,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!